Monday, July 23, 2012

ISU KOMUNIS!!!Senjata makan tuan buat UMNO





Dalam usahanya untuk memenangi pilihanraya, UMNO sekali lagi mengggunakan isu menakut-nakutkan rakyat. Kali ini dakwaan yang dilemparkan tetapi tanpa sebarang bukti ialah pendedahan Cawangan Khas PDRM bahawa Pas dan DAP telah diserapi fahaman JI dan komunis.

Dengan mengaitkan PAS dengan JI yang sering digambarkan bercirikan keganasan serta DAP pula dengan komunis, juga bercirikan keganasan, muslihatnya cukup jelas iaitu mahukan rakyat terus menyokong UMNO dan kerajaan BN meskipun bagaimana buruk sekalipun perlakuan para pemimpinnya selama ini.


Taktik menakutkan rakyat ini sebenarnya adalah ulangan taktik lama yang dikitar semula beberapa kali. Sebelum ini DAP juga digambarkan sebagai anti Melayu, anti Islam, ekstremis Cina dan sebagainya. Ternampak bahawa UMNO mulai bimbang dengan penerimaan masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu sendiri terhadap DAP kebelakangan ini.


Apabila taktik itu dilihat tidak cukup berkesan, isu komunis pula cuba ditimbulkan. Isunya cukup jelas iaitu untuk mengajak rakyat menolak DAP. Jika rakyat terutamanya Melayu menolak DAP, maka gabungan Pakatan Rakyat secara automatik menjadi tempang dan lebih mudah ditewaskan.


Namun demikian, jika dilihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi DAP nampaknya lebih mesra Melayu dan Islam berbanding kerajaan BN dahulu. Kemudahan untuk orang Islam beribadah ditambah, malahan peruntukan untuk Majlis Agama Islam juga bertambah berkali tanda setiap tahun. Dengan ini semua dakwaan anti Melayu dan anti Islam terhapus secara sendirinya.


Dalam masa yang sama, rakan karib UMNO iaitu MCA melalaui beberapa tuntutannya seperti persamaan hak dan kouta sama rata serta secara terang mengugut UMNO berkaitan hudud, dilihat lebih ekstrem berbanding DAP. Beberapa isu melibatkan MCA akhir-akhir ini juga menjadikan DAP lebih disenangi berbanding MCA.


Selain itu kemasukan beberapa individu Melayu ke dalam DAP seperti yang berlaku di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan juga berjaya memadam tanggapan parti itu anti Melayu dan anti Islam, jauh sekali ekstremis China.


Langkah terbaru yang dibuat oleh UMNO melalui cawangan khas PDRM yang mengaitkan DAP dengan komunis tidak lain adalah adalah ulangan taktik yang sama. Ini kerana selepas melemparkan dakwaan itu, tiada bukti yang dapat disertakan selain melalui melalui andaian kekerapan kononnya beberapa pemimpin parti itu berulang alik ke Thailand.


Jika kekerapan pergi ke Thailand dijadikan ukuran, tentunya pemimpin UMNO juga kerap ke sana. Bolehkah mereka juga dikaitkan dengan komunis?


Dalam isu komunis yang dikaitkan dengan DAP, Menteri KDN, Hishammuddin Hussein sendiri tidak dapat memberikan sebarang bukti atas dakwaan Cawangan Khas PDRM itu, malah baru mahu mendapatkan maklumat daripada Cawangan Khas mengenainya. Soalnya apakah wajar Cawangan Khas mendedahkan sesuatu isu yang melibatkan kepentingan negara tanpa pengetahuan Menteri KDN?


Ternampak ada sesuatu yang janggal di sini. Mungkinkah Cawangan Khas sengaja diarah mendedahkan perkara itu sekadar untuk melihat respon rakyat?


Dalam isu komunis yang dikaitkan dengan DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu, secara umumnya ia tidak memberi kesan ketara kepada rakyat. Ini kerana sepanjang sejarah tidak ada pemimpin DAP yang ditangkap kerana komunis. Berbanding UMNO dan mereka yang dekat dengan UMNO, sejarah telah menyaksikan beberapa daripada mereka pernah ditangkap kerana kaitannya dengan komunis, antaranya mereka yang dikenali dengan Tiga Abdul dan salah seorang pegawai ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri iaitu Sidek Ghouse juga pernah ditahan kerana kaitan dengan komunis.


Lebih dari itu, pendedahan Lim Guan Eng bahawa Pemuda BN juga pernah menubuhkan seketariat tetap dengan Liga Pemuda Komunis China pada 2009 bagi tujuan mengeratkan hubungan kedua-dua belah pihak, sekaligus meletakkan UMNO dalam situasi pernah bekerjasama secara rasmi dengan komunis.


Selain itu dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO juga, jika diperhatikan delegasi Parti Komunis China juga adalah antara yang kerap dijemput sebagai tetamu.


Faktor ini sekaligus menafikan tanggapan Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak pernah bekerjasama dengan komunis. Hakikatnya UMNO bukan saja pernah bekerjasama dengan komuns tetapi telah terbukti beberapa pemimpinnya juga pernah ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan yang rapat dengan komunis.


Dalam usaha UMNO menjadikan isu komunis ini sebagai senjata untuk menakut-nakutkan rakyat agar menolak DAP, akhirnya ia telah menjadi senjata yang menikam dirinya sendiri. Kegagalan menjadikan isu komunis sebagai tsunami untuk menenggelamkan DAP, setelah isu anti Melayu, anti Islam dan ekstremis Cina juga menemui kegagalan, UMNO mungkin sedang memerah otak mencari isu lain untuk diketengahkan pula.


Atau setidak-tidaknya tarikh pilihanraya mungkin ditangguhkan lagi sehingga jerat yang dipasang benar-benar mengena!!(SH 23/07/2012)

No comments: