Muhdalena Ahmad, 28, memakai topeng ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini.
PUTRAJAYA - Wanita yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana
Menteri (JPM) awal Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah
bagi mengelak wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Muhdalena Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah,
ditemani bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya
cuba dirakam media.
Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.
Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa
satu bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan
dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara
ditetapkan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Mazrah Ahmad Din berkata,
tertuduh perlu melantik peguam dan menyelesaikan segera perkara-perkara
yang dipersetujui antara pihak pendakwaan dengan tertuduh sebelum
perbicaraan.
Menurutnya, terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang
menyatakan, kes perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari
tarikh didakwa.
Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.
Prosiding pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital
Putrajaya kerana dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk
berkenaan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan
mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan
Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah
pedang.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM,
Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.
Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya
sekali jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta
Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa
hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya
sekali jika sabit kesalahan.
Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47,
mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya
kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke
Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian
ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.
No comments:
Post a Comment