Tuesday, April 13, 2010

Koo Ham kota janji


IPOH , 13 April : Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengotakan janjinya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberikan keterangan berhubung kenyataannya yang mempersoalkan kehadiran pegawai serta anggota polis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kerana tidak melihat sebarang laporan yang dibuat terhadapnya.

“Saya dimaklumkan bahawa polis telah memanggil saya untuk memberi keterangan beberapa hari lalu, namun saya tidak dapat berbuat demikian kerana masih berada di Parlimen.

“Pada hari ini (semalam), saya hadir untuk memberi keterangan, tetapi saya tidak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kerana saya sendiri tidak dapat melihat laporan-laporan yang dibuat terhadap saya selama ini.

“Mungkin saya bakal tersilap ketika memberi keterangan, siapa tahu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan IPD Ipoh, semalam.

Beliau hadir sekitar 11 pagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya terhadap kehadiran anggota polis pada Sidang DUN lalu yang dilihat bakal mengganggu kebebasan persidangan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar dan peguam, Leong Cheok Keng.

Sementara itu Cheok Keng berkata, Koo Ham bakal didakwa di bawah Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948, tetapi perkara berkenaan masih dalam siasatan polis.

Pada Sidang DUN lalu, beliau berkata, sebagai pasukan keselamatan polis sewajarnya bertugas dengan telus dan ikhlas bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin bukannya bertindak terhadap pihak PR semata-mata yang didakwa menimbulkan kekacauan.SH

No comments: