Tuesday, April 13, 2010

Orang Cina juga terima takaful kifalah


KUALA KRAI , 13 April : Seorang lagi peserta Takaful Kifalah berketurunan Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang menerima manfaat skim itu apabila seorang warga emas meninggal dunia, tiga hari lalu.

Warga emas terbabit, Shik Kim Sun, menghembus nafas terakhir pada usia 85 tahun di rumahnya di Kampung Batu Jong, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi, Sabtu lalu, akibat sakit tua.

Anak keempat mendiang, Chu Eng Sing, 54, berkata, ibunya menghidap penyakit nyanyuk hampir empat tahun lalu namun keadaannya bertambah teruk sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Sebelum ini dia boleh berjalan lagi walaupun nyanyuk tetapi sejak setahun dua lepas sampai meninggal, dia hanya terlantar di tempat tidur.

“Sekarang hanya tinggal saya dan ayah saya yang juga sudah uzur akan duduk di rumah ini,” katanya pada persiapan upacara pengebumian ibunya, di sini, semalam.

Eng Sing berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bayaran manfaat Takaful Kifalah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Hadir sama, Penghulu Tanpa Mukim Wakil Kaum Parlimen Kuala Krai, Sik Chai Som, Ketua Dewan Pemuda Pas DUN itu, Abdul Hashim Jusoh dan Imam Muda Masjid Mukim Batu Jong, Abdul Kadir Yasim.

Eng Sing berkata, jenazah mendiang ibunya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Jelatuk, dekat Tanah Merah petang ini (semalam).

Kim Sun meninggalkan suami, Chu Bang Siang, 84, dan lima anak lelaki berusia antara 52 hingga 63 tahun.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, bayaran kepada waris Kim Sun menjadikannya penyampaian kedua melibatkan peserta Takaful Kifalah berbangsa Cina di DUN berkenaan dalam tempoh 10 hari pertama bulan ini.

Menurutnya, mendiang juga peserta Cina kedua menerima manfaat skim untuk tahun ini selepas penerima pertama, Kua Mek Seng dari Kampung Bukit Langsat, dekat sini, yang meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim 1 April lalu.

Katanya, lebih 2,000 penduduk pelbagai kaum di DUN itu kini menyertai Takaful Kifalah sejak skim perlindungan insurans khusus untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas itu diperkenalkan Kerajaan Negeri pada awal Februari 2007 lalu. SH

No comments: