PARIT BUNTAR , 13 Julai : Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Abd Raman Suliman (gambar) diingatkan tidak terlalu angkuh membuat kenyataan bahawa kerusi Parlimen dan dua DUN di Parit Buntar hanya dipinjamkan sementara kepada Pakatan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Parit Buntar mengambarkan seolah-olah ketiga-tiga kerusi tersebut adalah hak mutlak Umno.
“ Beliau harus sedar bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana semua parti politik berhak bertanding dan menang dalam pilihanraya.
“ Ketiga-tiga kerusi yang sekarang menjadi milik Pakatan Rakyat di Parit Buntar dimenangi melalui pilihanraya bukan dipinjam dari Umno”katanya
Bahrain berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Parit Buntar itu juga menunjukkan bahawa beliau masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Barisan Nasional telah tewas bertanding untuk ketiga-tiga kerusi tersebut dalam pilihanraya umum lalu.
“ Malah, ketiga-tiga kerusi tersebut juga hanya milik sementara Pakatan Rakyat. Apabila dibubarkan parlimen nanti, kerusi tersebut akan dipertandingkan semula.
“ Umno Parit Buntar boleh mengambil semula ketiga-tiga kerusi tersebut, tetapi tunggulah keputusan yang ditentukan oleh rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 nanti” katanya
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad menyangkal tuduhan Ketua Umno Bahagian Parit Buntar bahawa tiada perubahan yang dilakukan Pakatan Rakyat terhadap pembangunan di kawasan Parit Buntar.
“ Sepatutnya tuduhan itu ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negeri dan pusat bukan kepada Pakatan Rakyat.
“ Beliau perlu sedar bahawa ketiga-tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat di Parit Buntar dinafikan peruntukan pembangunan yang sepatutnya diterima untuk membantu rakyat” katanya
Khairulzami meminta kerajaan Barisan Nasional mendedahkan kepada rakyat di Parit Buntar ke manakah peruntukan ini disalurkan.
“Jika tiada pembangunan berlaku di Parit Buntar seperti didakwa Ketua Bahagian Umno, ke manakah peruntukan itu dibelanjakan.
“ Kami dapat banyak aduan penduduk yang kecewa apabila memohon kerajaan membaiki jalan kampung, jawapan yang diterima adalah peruntukan tiada” katanya
No comments:
Post a Comment