Tuesday, July 13, 2010
Pusat Khidmat PR anjur motivasi kecemerlangan insan
IPOH , 13 Julai : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Pakatan Rakyat (PR) dengan kerjasama sebuah syarikat, menganjurkan program Kursus Motivasi Kecemerlangan Insan yang disertai oleh 45 orang peserta terdiri daripada Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah, Gopeng.
Program yang dijalankan di asrama itu bertujuan membentuk jati dan sahsiah diri dalam kalangan peserta khususnya lingkungan usia sembilan hingga 15 tahun.
Penganjur program dan penceramah, Ir Radzi Zainon berkata, penganjuran program itu sangat bertepatan dalam keadaan remaja hari ini dilihat lebih mudah terpengaruh dengan budaya luar.
Menurutnya, penganjuran kem itu juga berjaya mencungkil dan menanam asas iman serta takwa sebagai benteng diri dalam persediaan menghadapi dugaan dalam alam remaja.
“Remaja hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme, terjebak dalam amalan seks bebas, buang bayi dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.
“Sekiranya tidak diben-dung, maka impian kita untuk membangunkan negara menjadi sebuah negara maju dengan acuan kita sendiri, akan hancur musnah,” katanya kepada :Sinar Harian:.
Radzi berkata, pihaknya tanpa prejudis ingin melihat anak bangsa berjaya dan mampu melahirkan remaja yang cemerlang selain hidup di dalam suasana Islam sebenar.
“Kita cuba mengupas dan membentuk pemikiran remaja untuk lebih mendekati dan memahami cara sebenar kehidupan yang dituntut oleh agama Islam.
“Mudah-mudahan setiap pengajaran dan ilmu yang dicurahkan oleh fasilitator akan dapat diamalkan dan dipraktikkan untuk menjadi benteng diri agar peristiwa hitam yang mampu memalitkan dosa masyarakat setempat dapat dihindari,” katanya.
Katanya, apa yang diharapkan agar satu tindakan yang lebih drastik dilakukan dalam mempertingkatkan mutu kehidupan bagi melahirkan remaja yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia dan sentiasa bersedia menangani cabaran semasa.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment