Tuesday, August 10, 2010

ADUN PR dedah penyelewengan


HUTAN MELINTANG, 10 Ogos : Tanah Rancangan Perkampungan Tersusun Simpang Empat, di sini, yang sepatutnya diberikan kepada golongan miskin di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang kini menjadi milik beberapa golongan tertentu yang tidak layak memilikinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan yang mendedahkan perkara itu berkata, kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri tidak masuk akal kerana beberapa penerima tanah itu terdiri daripada golongan berada dan kakitangan kerajaan.


Menurutnya, melalui senarai nama yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dalam jawapan kepada soalan bertulis yang dikemukakan beliau sempena mesyuarat pertama, penggal ketiga DUN Perak pada 3 Ogos lalu membuktikan dakwaan berkenaan.


“Memang semasa kita (Pakatan Rakyat) memerintah dahulu nama-nama ini telah dikenal pasti dan kita tangguh kelulusan itu kerana terdapat beberapa nama pemimpin UMNO Bagan Datoh dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak sendiri.


“Selepas mereka (Barisan Nasional) mengambil alih pemerintahan, nama yang disenaraikan sebelum ini telah diluluskan dan perkara ini sangat mengecewakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika membuat pendedahan itu di pejabatnya, di sini, Khamis lalu.


Kesavan berkata, pemberian kelulusan memiliki tanah itu membuktikan Kerajaan Negeri yang ada tidak telus dan mengutamakan kroni mereka.


Beliau berkata, pendedahan itu ada asasnya kerana terdapat ramai lagi orang Melayu yang masih hidup menumpang di tanah rizab untuk mendirikan kediaman sedangkan golongan yang boleh dikatakan elit itu dengan begitu mudah memperoleh tanah berkenaan.


"Pada tahun 2007, senarai nama itu dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi Exco yang bertanggungjawab ketika itu meminta untuk menyemak sama ada senarai pemohon itu layak atau tidak," katanya.


Katanya, setelah mendapati terdapat nama pemimpin besar UMNO Bahagian Bagan Datoh dan nama beberapa kakitangan kerajaan, beliau meminta supaya permohonan itu ditangguhkan.


“Apa yang dikesalkan, setelah memperoleh tanah itu, mereka menjualnya kepada pihak lain dan kemudiannya pihak yang ketiga sedang menjual tanah lot ini.


“Berdasarkan penyiasatan kami, tanah lot itu dijual sehingga mencecah RM80,000 memandangkan kawasan Hutan Melintang mempunyai nilai harga tinggi,” katanya.


Menurutnya, pendedahan itu bukan suatu rekaan kerana siasatan telah dijalankan dan buktinya dikemukakan.


"Beberapa lagi pendedahan akan dibuat berkaitan kepentingan rakyat yang telah diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
SH

No comments: