Tuesday, August 10, 2010
Elakkan fitnah walau berbeza ideologi politik
GEORGETOWN, 10 Ogos: Ketua Menteri, Lim Guang Eng menyeru rakyat Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza sempena Ramadhan tahun ini.
Katanya, tindakan mengaibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan.
Beliau menyatakan demikian dalam perutusan sempena Ramadhan 1431 Hijrah yang disambut esok, 11 Ogos.
Berikut adalah perutusan penuh beliau.
Saya ingin berdoakan agar keberkatan dan kesucian bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun 1431 Hijrah ini dapat dihalusi dan dinikmati semua berdasarkan perkongsian, pengorbanan dan sumbangan kepada masyarakat.
Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan terus berusaha mendirikan kerajaan berjiwa rakyat dengan berteraskan prinsip 3P – Perkayakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkasakan Rakyat- dan urus tadbir kerajaan Cekap, Telus dan Akauntabel (CAT). Prinsip integriti dan kebenaran adalah penting dalam pentadbiran negara.
Kerajaan yang baik dan bersih akan dapat jimatkan wang untuk dikongsi bersama rakyat. Ini boleh dilihat buat pertama kalinya semua warga emas yang melebihi 60 tahun telahpun menerima RM100 setiap tahun dan waris akan menerima buat pertama kalinya RM1,000 untuk urusan jenazah. Di samping itu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya basmikan miskin tegar pada 2009.
Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya memberi jaminan bahawa amalan CAT akan dilaksanakan tanpa pilih kasih bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri diteruskan dengan tiga teras pembangunan ekonomi yang digariskan iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).
Di bulan yang mulia ini juga, saya mengambil semangat Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini untuk menyeru rakyat negeri Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza.
Tindakan aibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan. Contohnya dakwaan perarakan Maulud diharamkan diulang-ulangi sungguhpun berjalan seperti dulu kala dan dengan lebih meriah.
Ataupun demonstrasi ke atas dakwaan palsu Bazar Ramadan di Komtar diharamkan oleh sipenganjur yang telah kutip wang sewa daripada peniaga tetapi tidak serahkannya kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang(PDC).
Kerajaan negeri sedia menerima cabaran ini dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fitnah. Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin orang Islam, dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar.
Akhirnya, marilah kita menjauhi segala laranganNya bagi mendapatkan puasa yang sempurna sejajar sabda Rasulullah SAW (bermaksud): “Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”.
Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan rahmat yang penuh keberkatan.
Amal Maaruf Nahi Mungkar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment