Tuesday, August 10, 2010
PAS tubuh Gerakan Bela Rakyat (Bela)
GOMBAK, 10 Ogos : Selepas berjaya melancarkan Kempen Anti Saman ekor (Kase), PAS hari ini mengorak langkah dengan melancarkan Gerakan Bela Rakyat (Bela) bagi mencari penyelesaian kepada masalah pemilik kenderaan berusia 20 tahun ke atas yang terpaksa membayar tinggi untuk memperbaharui polisi insurans.
Pengerusi Bela, Salahuddin Ayub berkata, pemilik kenderaan 20 tahun ke atas terpaksa melalui prosedur yang merumitkan dan membayar upah untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka.
Mereka terpaksa melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) dan Uniasia untuk memperbaharui insurans kenderaan, dan bayaran yang dikenakan meningkat sehingga 200 peratus berbanding dahulu.
"Hari ini saya mewakili rakyat bawahan melancarkan Bela kerana memahami kumpulan rakyat bawahan sangat tertekan dengan isu kereta dan motor yang berusia 20 tahun ke atas yang menghadapi masalah untuk memperbaharui atau mendapatkan perlindungan polisi insurans," katanya pada sidang media pelancaran Bela di sebuah restoran, di sini hari ini.
Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan hanya mendengar aduan daripada pihak insurans bahawa mereka mengalami kerugian jika memperbaharui insurans kenderaan 20 tahun ke atas dengan harga asal, dan tidak mendapatkan pandangan umum, sebaliknya terus membiarkan rakyat menjadi mangsa.
Isunya sekarang, kata beliau mereka terpaksa mengambil insurans dengan MMIP dan Uniasia.
"Dulu pemilik kenderaan boleh beli insurans dengan mudah di mana-mana syarikat insurans dengan harga yang murah tapi ada aduan syarikat insurans yang mendakwa mereka mengalami kerugian rugi dan menyarankan kepada pihak kerajaan agar mekanisme baru dicari untuk mereka mengatasi apa yang dikatakan kerugian itu.
"Dan tanpa kajian dan pandangan umum diambil kerajaan, polisi ini diaplikasi dan rakyat menjadi mangsa," katanya.
Salahuddin juga berkata, bebanan itu sangat dirasai oleh rakyat yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan pedalaman kerana MMIP hanya terdapat di pekan-pekan besar.
"Masalah ini dihadapi oleh rakyat di kampung dan kawasan pedalaman sebab MMIP hanya ada di pekan-pekan besar sahaja.
"Dan soalan yang ditanya dalam borang yang diberikan sangat menyusahkan orang-orang kampung. Kalau mereka tidak tahu jawab, kena upah orang untuk isi borang dengan bayaran RM20 hingga RM30.
"Nak ambil borang kena ke pekan besar, lepas itu kena upah untuk isi borang, jadi berapa kali kesusahan yang mereka terpaksa hadapi untuk mendapatkan insurans kenderaan," katanya.
Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian akan mengadakan satu persidangan meja bulat bagi mencari penyelesaian kepada polisi yang sudah hampir setahun berkuat kuasa ini.
Beliau berkata, tujuh kumpulan akan dipanggil menyertai meja bulat ini antaranya persatuan insurans am Malaysia, persatuan pemilik kereta bermotor, insurance and takaful brokers assosiatioan, Fomca dan badan-badan lain yang berkaitan selain wakil daripada kementerian kewangan dan kementerian pengangkutan.
"Bela akan mengadakan persidangan meja bulat dalam masa dua minggu lagi untuk mencari penyelesaian kepada isu ini. Saya akan panggil beberapa kumpulan untuk saya dapatkan pandangan mereka.
"Persidangan ini untuk kerajaan bertindak segera bagi memberi satu skim kepada rakyat untuk mendapatkan insuran yang mereka mampu untuk bayar. Selepas itu saya akan bawa hasil perbincangan ke persidangan Parlimen seawal mungkin," katanya.
Tambahnya juga, Bela akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat berhubung polisi yang membebankan ini.
Tegasnya, kerajaan seharusnya menyediakan satu dasar yang jelas berkenaan perkara ini.
"Kerajaan mesti ada satu mekanisme dan dasar automotif negara dan dasar insurans rakyat. Kita tahu insurans memang tidak boleh dihapuskan keran amelibatkan keselamatan pemilik kenderaan itu sendiri namun merka mesti datang denagn satu penyelesaian yang tidak membebankan rakyat.
"Kita tidak mahu satu dasar yang flip flop kerana kita tahu insurans mestilah ada kepentingan mereka sendiri," katanya.hrkh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment