Sunday, November 14, 2010

Larangan hanya kepada media penipu


ALOR SETAR , 14 Nov. : Larangan beberapa media elektronik dan arus perdana membuat liputan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan membentangkan bajet 2011, bermula hari ini hingga 16 November adalah atas bidang kuasa Speaker DUN, Datuk Dr Abd Isa Ismail.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, larangan itu dibuat setelah Speaker memutuskan laporan oleh media tertentu ketika liputan banjir di Kedah diputar belit selain fakta tidak tepat.


“Speaker mahu menjaga kemuliaan Dewan, beliau tidak mahu liputan di Dewan dicemari insiden yang sama. Itu hak Speaker sebagai ketua dalam Dewan. Saya difahamkan agensi berita Bernama dibenarkan di saat akhir, bermakna media lain yang dihalang masuk ke Dewan boleh mendapatkan berita daripada Bernama,” katanya kepada media, selepas majlis penyerahan lembu korban oleh Kerajaan Negeri kepada DUN, agensi kerajaan dan jabatan berkaitan di pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, semalam.

Ditanya sama ada media terbabit turut tidak dibenarkan membuat liputan bagi acara rasmi Kerajaan Negeri, Azizan berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Kita akan lihat dari semasa ke semasa, sejauh mana media terbabit menghormati etika penulisan dalam akhbar masing-masing. Buat masa ini ia hanya berkuat kuasa bagi Sidang DUN sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, Badrol Hisham Hashim mendakwa tindakan menghalang beberapa media membuat liputan di DUN sebagai menyekat kebebasan media, Azizan berkata, pihaknya terpaksa membuat sekatan itu kerana kebebasan yang diberikan selama ini disalahguna.

“Sebelum ini kita dah bagi kebebasan namun sesetengah media terlajak (melampau) dalam laporan mereka. Sebab itu kita buat sekatan sedikit supaya mereka hormat pada Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini Kerajaan Negeri tidak berhasrat mengambil apa-apa tindakan terhadap media terbabit yang secara terang-terangan membuat laporan berat sebelah.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah membawa usul berkenaan untuk dibahaskan dalam Sidang DUN sekiranya larangan itu tidak ditarik balik, Azizan berkata, hanya Speaker berhak membuat keputusan itu.

“Biar mereka nak buat usul, hanya Speaker berhak putuskan perkara itu. Saya hairan kenapa UMNO beria-ia bantah, sedangkan media itu bukan milik mereka. Sebelum ini, saya baik dengan semua media, tapi jika buat laporan tidak betul, memanglah saya marah,” katanya
.

No comments: