Sunday, November 14, 2010

Penduduk bantah tanah dirampas


TELUK INTAN , 14 Nov. : Kira-kira 200 penduduk di Kampung Pasir Bedamar, di sini, berang selepas tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian diambil oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak bagi membina penempatan baru kepada mangsa kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Salah seorang penduduk, Chong Lai Hock, 51, berkata, dia cukup tertekan dengan keadaan itu kerana tanah berkenaan telah lama diusahakan untuk tujuan pertanian sejak mendiang bapanya kira-kira 30 tahun lalu.


Menurutnya, dia sedang mengusahakan untuk tanaman limau tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana projek pembinaan rumah sedang dilaksanakan.

“Semasa bapa saya masih hidup, memang Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dikeluarkan tetapi setelah dia meninggal dunia, saya tidak boleh meneruskan pemilikan LPS itu.

“Saya kecewa dengan tindakan ini dan ia tidak adil kepada penduduk yang telah lama tinggal di sini,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui membuat demonstrasi secara aman membantah pembinaan penempatan baru bersama penduduk lain di Kampung Pasir Bedamar, di sini, semalam.

Lai Hock berkata, penduduk tidak berpuas hati dengan pembinaan rumah itu disebabkan ia dilaksanakan tanpa perbincangan dengan penduduk.

Katanya, penduduk tidak pernah setuju dengan pembinaan rumah berkenaan kerana kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan penempatan.

“Tiada sebarang perbincangan mahupun notis dikeluarkan bagi mengosongkan tanah itu dan disebabkan itu saya terpaksa menanggung kerugian.

“Pernah saya kemukakan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5,000 tetapi ia dipandang sepi oleh pihak berkenaan,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Chan Cheng Yau, 74, berkata, kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah warga emas dan tinggal di situ sejak lahir lagi.

Menurutnya, pekerjaan dan pendapatan utama mereka hanya bersumberkan pertanian.

“Kami di sini bukan orang kaya dan berpendapatan tinggi, hanya petani biasa yang bergantung kepada tanaman yang diusahakan.

“Kita minta supaya Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak mempertimbangkan permintaan kami dan rasanya tidak wajar kami diperlakukan seperti ini,” katanya.

Penduduk, Chan Hui, 77, berkata, jika rumah yang dibina itu untuk penduduk miskin dan kurang berkemampuan di situ tidak mengapa� tetapi ia dibina untuk orang lain.

Katanya, jika rumah itu untuk orang lain, bagaimana pula nasib penduduk sedia ada yang telah lama tinggal di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen, ADUN mahu penyelesaian segera

Sementara itu Ahli Parlimen, M Manogaran yang ditemui di tempat kejadian berkata, beliau kesal dengan tindakan pembinaan itu kerana dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan penduduk.

Menurutnya, seharusnya pihak berkenaan mengeluarkan notis atau meletakkan papan tanda pembinaan supaya penduduk maklum dengan apa yang berlaku.

“Sebarang keputusan yang dibuat biarlah adil untuk semua dan bukan bermotifkan sesuatu yang tidak jelas.

“Bukannya tanah itu baru diteroka, tetapi sudah begitu lama mereka tinggal di sini dan mengusahakannya, sepatutnya mereka berhak diberikan hak milik,” katanya.

Manogaran berkata, beliau akan membawa masalah itu ke peringkat yang lebih tinggi untuk memastikan hak rakyat terus dipertahankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Seah Leong Peng yang ditemui juga berkata, penduduk bukan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tanah itu tetapi pelbagai alasan diberikan.

Menurutnya, jika kawasan tanah itu tidak boleh diberikan kepada penduduk, pembinaan rumah itu juga tidak boleh diteruskan.

"Masalah ini akan cuba dibincangkan bersama Pegawai Daerah Hilir Perak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Katanya, satu memorandum akan dihantar ke Pejabat Menteri Besar bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Saya juga akan bawa isu ini semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada hujung bulan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sinar Harian difahamkan seramai lapan keluarga yang juga mangsa kebakaran di Kampung Esso, Jalan Maharaja Lela akan mendiami rumah yang dibina itu.

No comments: