Sunday, November 14, 2010
Tempoh sidang DUN Perak perlu dipanjangkan
BOTA, 14 Nov. : Tempoh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipanjangkan untuk jangka waktu tertentu bagi memberi peluang kepada wakil rakyat membahaskan segala permasalahan rakyat yang lama tergendala.
Demikian saranan Ketua Cabang Parti Keadilan Parit, Kapten (B) Usaili Alias berhubung sidang DUN penggal ketiga yang akan berlangsung pada 30 November ini.
Usaili berkata, tempoh yang diberikan untuk sidang DUN amat pendek dan tidak berkesempatan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dibincangkan sepenuhnya.
“Tempoh sidang DUN perlu dilanjutkan masa bagi memberi peluang setiap wakil rakyat membahaskan segala permasalahan yang berlaku dengan sebaik mungkin untuk dicari jalan penyelesaian.
“Waktu yang diberi sebelum ini agak terbatas dan pihak berkenaan perlu memikirkan perkara ini sebaik mungkin supaya segala masalah rakyat yang lama tergendala dapat dibahaskan,” katanya yang juga bekas ADUN ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Katanya, pada hujung tahun juga banyak perkara yang perlu dibincangkan untuk tujuan pembangunan negeri Perak.
“Waktu hujung tahun adalah saat penting kerana pada waktu inilah audit akan dibahaskan untuk melihat perkembangan kemajuan negeri Perak.
“Bagi sesi membentangkan dan membahaskan audit sahaja sudah mengambil masa yang agak panjang dan sudah tentulah perkara ini perlu dibahaskan dengan teliti untuk melihat apa perbelanjaan dan juga keuntungan yang diterima kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengalamannya dahulu sebagai wakil rakyat, banyak perkara yang tidak dapat dibangkitkan kerana kekangan waktu yang terbatas.
“Kita sebagai wakil rakyat membawa harapan dan masalah rakyat untuk dibincangkan dalam DUN dan dicari jalan penyelesaian tetapi jika waktu yang diberikan tidak mencukupi sudah tentulah rakyat kecewa.
“Hak rakyat perlu dibincangkan supaya hasrat mereka tercapai kerana sebab itu jugalah seseorang wakil rakyat itu dipilih.
“Wakil rakyat sendiri juga jangan hanya mengikut kehendak diri sahaja termasuklah berlaku pergaduhan dan sebagainya kerana sepatutnya mereka bersidang secara aman dan mencapai matlamat untuk pembangunan negeri,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment