Pengantin Orang Asli teruja
KOTA BHARU, 26 Dis. : Kira-kira 19 pasangan pengantin baru Orang Asli di Gua Musang menarik nafas lega apabila mereka dapat dinikahkan serentak dan dapat mengurangkan beban perbelanjaan perkahwinan.
Perasaan gembira dan bersyukur berkenaan diluahkan oleh pengantin lelaki dan perempuan ketika ditemui Sinar Harian ketika mereka dinikahkan bersama-sama 101 pasangan lain sempena program Kahwin Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2010 yang diadakan kelmarin di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan.
Saat-saat gembira detik perkahwinan beramai-ramai yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan disaksikan kira-kira 3,000 hadirin dari seluruh negeri.
Seorang pengantin, Saufi Gani, 21, dari Post Ligi berkata, dia terharu kerana diberi peluang untuk mengakhiri zaman bujangnya bersama pasangannya Aneh Ramah, 17, dan lebih bermakna dinikahkan secara beramai-ramai.
“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur dan program ini sangat baik bagi saya kerana dapat mengurangkan beban orang lelaki untuk mendirikan rumah tangga.
“Ini boleh mengelak saya dan pasangan daripada berkenalan dalam tempoh yang lama dan juga dapat menghindari perkara tidak elok di mata masyarakat,” katanya.
Pengantin lain, Roni Peter, 21, pula memberitahu dia sudah lama berhasrat untuk berkahwin dengan wanita idamannya tetapi masa tidak mengizinkan kerana masalah tertentu.
Katanya, menerusi program itulah di yang bekerja sendiri itu dapat menunaikan hasratnya untuk mendirikan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
“Ini saat yang saya tunggu-tunggu dapat dinikahkan dalam majlis secara besar-besaran dan lebih bermakna dihadiri Tok Guru sendiri,” katanya.
Bagi Afifah Salleh pula walaupun baru berusia 18 tahun tetapi dia nekad untuk hidup bersama pasangannya dan dia akhirnya disatukan dalam majlis yang sangat bermakna bagi dirinya kelmarin.
“Saya sangat gembira kerana sah bergelar isteri dan program ini juga dapat membantu keluarga kami tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk perkahwinan ini,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment