Monday, December 27, 2010

Mahkamah tak bantu mangsa keganasan polis ?

Kes Chia: Mahkamah bersekongkol dengan polis?

http://www.loyarburok.com/wp-content/uploads/2010/08/1-n-surendran.jpg
KUALA LUMPUR, 26 Dis. : Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi perlu bertanggungjawab terhadap kecederaan dialami mangsa siri keganasan polis, antaranya Chia Buang Hing, Kugan dan ramai lagi, kata Naib Presiden KEADILAN N Surendran.

“Tidak dinafikan, polis adalah pihak yang melakukan keganasan tetapi kita tidak dapat menafikan kehakiman membenarkan polis berbuat demikian apabila gagal mengaplikasikan undang-undang secara ketat dan meneliti tindak-tanduk polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang mengulas kejadian terbaru keganasan pihak polis terhadap tahanan di dalam lokap.

Surendran juga kesal kerana badan kehakiman tidak membantu mangsa keganasan polis, sebaliknya tidak mempeduli rayuan mangsa sepertimana kes melibatkan Chia.

“Chia memaklumkan mahkamah majistret yang beliau dipukul polis. Malangnya, Majistret tidak mempeduli aduan dan rayuan beliau. Malah, mengarahkannya untuk terus direman pihak yang menyeksanya,” kata Surendran.

Mengulas lebih lanjut, Surendran menyifatkan kecederaan yang dialami Chia adalah contoh terbaru kegagalan berterusan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dalam melindungi rakyat.

Chia Buang Hing, 34 tahun ditahan polis selama tiga hari atas alasan cukai jalan keretanya tamat tempoh dan wangnya sebanyak RM13,000 diambil oleh polis yang menahannya.

Beliau hanya dibawa ke hadapan Majistret untuk perintah reman setelah cedera teruk akibat dibelasah kira-kira sebelas orang polis.

Semalam, dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan tetapi mereka dibebaskan atas alasan polis boleh mencari mereka di balai polis pada bila-bila masa kerana mereka adalah anggota polis.

Sehubungan itu, Surendran mahu reformasi menyeluruh segera dilakukan terhadap sistem pengadilan jenayah, terutama berkaitan pelantikan dan latihan yang diberikan kepada Majistret.

Beliau turut menegur Zaki yang dianggap tersilap fokus dalam memperbaiki sistem kehakiman negara.

“Ketua Hakim sibuk memenuhi indikator prestasi utama (KPI) dan ‘kecekapan berdasarkan statistik’ semata-mata sedangkan keadilan sebenarnya berkisar tentang kesamarataan, keabsahan serta perlindungan hak asasi rakyat.

“Kesilapan ini mendorong keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman berada pada tahap paling rendah,” katanya.

No comments: