Lima kali kena ugut, sekali kena pukul, dua kali simbah cat
AYER ITAM, 22 Dis. : Selepas menerima panggilan ugutan, pintu rumah disimbah cat hijau, dipukul sehingga menerima lebih 10 jahitan di muka, semalam nyawa Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi sekali lagi diancam.
Bukan itu sahaja, keretanya yang diletakkan berhampiran rumah, disimbah cat merah, dipercayai angkara orang sama yang mengugutnya sebelum ini.
Yeow Hooi berkata, ini kali kelima beliau diugut dan diancam selepas pekarangan rumah keluarganya di Padang Tembak, disimbah cat hijau Disember tahun lalu.
Mengenai kejadian pagi semalam, Yeow Hooi berkata, beliau hanya menyedarinya kira-kira jam 7.50 pagi ketika mahu mengambil kereta yang diletakkan di hujung jalan.
Beliau terkejut apabila melihat adanya percikan cat merah pada kereta selain dan tujuh kertas bersaiz A4 yang bertulis:
“Amaran Terakhir! Jangan buat bantahan tentang Kerajaan Negeri Pulau Pinang lagi! Jika tidak kita akan bunuh U dan keluarga U! Kali ini kita ajar sikit sama U sahaja kena kereta U tak kena orang. kita bagi U Parti Cinta Malaysia semua habis”
“Saya percaya perbuatan khianat ini angkara orang yang sama dan dipercayai ada kaitan dengan demonstrasi di pekarangan Dewan Undangan Negeri 2 November lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Sebelum ini, Yeow Hooi turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri menaikkan tarif air 27 peratus dan caj letak kereta yang dikenakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sehingga larut malam.
“Dua bulan lalu, saya terima ugutan panggilan telefon daripada seseorang yang melarang saya mengganggu atau membantah apa-apa arahan Kerajaan Negeri.
“Saya anggap mereka tidak profesional. Kita manusia, bukan binatang. Kalau saya ada buat salah, datang berjumpa dan bercakap sendiri,” katanya.
Yeow Hoi bagaimanapun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi percaya perbuatan itu ada kaitan dengan pihak tertentu yang pernah berselisih faham dengannya.
“Saya tidak takut dengan ugutan ini dan akan teruskan tanggungjawab saya. Tetapi saya minta sesiapa yang terlibat jangan ganggu keluarga saya,” katanya.
Sehubungan itu, Yeow Hoi minta agar polis menyiasat segera semua laporan yang dibuat sejak tahun lalu dan bertindak pantas untuk mengenal pasti dalang di sebalik semua ancaman itu.SH
No comments:
Post a Comment