10 perkara asas 100 hari Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Rakyat negara ini tidak perlu teragak-agak untuk memberikan undi kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang kerana jika peluang itu diberikan, semua pihak boleh melihat sendiri perubahan yang akan dilakukan hanya dalam masa 100 hari pemerintahannya dengan perubahan awalnya tertumpu kepada 10 perkara asas bagi kepentingan semua pihak.
Sebaik sahaja Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara, perkara pertama yang akan dilakukan dengan mengheret perasuah-perasuah negara ke muka pengadilan, bagi membersihkan negara dari amalan rasuah yang akan merosakkan masyarakat dalam pelbagai aspek.
Setelah itu, ia akan disusuli dengan langkah kedua iaitu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ternyata merupakan akta zalim dan tidak menepati kehendak Islam, manakala langkah ketiganya pula menstrukturkan semula pinjaman PTPTN bagi memudahkan para pelajar meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menyusun langkah keempat yang melibatkan dasar media dengan memperkenalkan akta kebebasan maklumat iaitu dengan melonggarkan proses permohonan akhbar, majalah atau media yang kini ternyata amat ketat.
Menurut beliau, sekiaranya rakyat negara ini memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah negara, setiap pihak turut berpeluang melihat kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara dengan lebih baik berbanding Kerajaan BN dalam pelbagai perkara lain termasuk yang melibatkan kebajikan kepada warga emas.
"Kita tidak akan cakap kosong. Sesiapa pun boleh melihatnya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara, langkah kelima yang akan kita lakukan dengan memberikan keutamaan kepada kebajikan kepada warga emas, iaitu dengan menaikkan kadar bantuan kepada golongan warga emas kepada kadar yang boleh melegakan kehidupan mereka berbanding kadar sekarang yang tidak seberapa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu, katanya, langkah keenam yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan memperkenalkan dasar kemudahan kebajikan WiFi kepada seluruh rakyat negara ini secara percuma, bagi membolehkan orang ramai mengakses internet dengan lebih mudah.
"Langkah ketujuh pula yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang boleh dilihat oleh orang ramai dalam tempoh 100 hari pemerintahannya berupa janji kita kepada orang ramai untuk mempertingkatkan pendapatan seisi rumah sebanyak RM4,000 sebulan.
"Manakala langkah kelapan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pula ialah dengan memperkukuhkan institusi agama selaras dengan artikel 3 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Tidak sudah dengan itu, Karajaan Pakatan Rakyat turut berjanji akan melaksanakan langkahnya yang kesembilan dengan memperbanyakkan dialog-dialog agama bagi mewujudkan persefahaman dan mengelakkan ketegangan agama di antara pelbagai penganut agama di negara ini.
"Langkah kesepuluh yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan menjadikan polis, SPRM dan SPR sebagai badan yang betul-betul bebas dan tidak berpihak kepada sebarang pihak," tegasnya.
Menurut beliau, kesemua perkara yang digariskan itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberi peluang memerintah negara kerana ia sememangnya berada di bawah kerajaan pusat.
"Lebih jauh dari itu, sebahagian daripadanya sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, sejajar dengan bidang kuasa kerajaan negeri.
"Antaranya termasuklah kebajikan kepada warga emas yang sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang, Kedah, Selangor, manakala Kelantan pula yang berada di bawah pemerintahan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama melaksanakannya.
"Begitu juga dengan langkah-langkah membasmikan kemiskinan. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berada di bawah Lim Guan Eng kini sudah pun berjaya menghapuskan kemiskinan tegar dengan program-program yang diadakan selaraskan dengan manifestonya.
"Hal yang sama turut giat dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan sejak dulu. Begitu juga dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Kedah yang sedang berusaha keras ke arah itu yang juga boleh dilihat hasilnya oleh orang ramai dari semasa ke semasa, menerusi program-program yang diadakan secara berterusan," katanya.
Menjelaskan perkara itu, beliau mengambil contoh dasar telus, kompitensi dan bertanggungjawab yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan awam sehingga tertubuhnya C.A.T. (Competency, Accountability, Transparency) di Pulau Pinang, Selcat di Selangor, dasar penjimatan oleh Kerajaan Kelantan yang berada di bawah pemerintahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga berkemampuan membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh bagaimana bijaknya Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang berada di bawah pemerintahan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam perkara itu dengan mengemukakan bajet yang cukup membanggakan orang ramai bagi tahun ini.
"Hasilnya, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menerusi dasar berjimatnya, berhemahnya berjaya menyelamatkan pendapatan balak bagi kepentingan rakyat negeri itu sendiri," jelasnya.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh tentang kemampuan dan usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat dalam mengukuhkan institusi agama, dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah memperuntukkan RM36 juta dalam bajetnya tahun ini.
Manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan, Kedah dan Selangor, juga turut memberikan peruntukan yang besar dalam hal itu dan ia pasti akan terus diperkemaskan dari semasa ke semasa.
Mengenai dialog-dialog agama, walaupun kini belum berjaya memerintah negara, tetapi kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, selaras dengan bidang kuasanya, telah pun mengadakannya dari semasa ke semasa termasuk di Kelantan dan ia ternyata berjaya mengelakkan berlakunya ketegangan agama dan memberikan persefahaman yang baik di kalangan penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.
"Tentang dasar media, menghapuskan ISA dan perkara-perkara lain yang berada di bawah kerajaan pusat, kerajaan negeri tak bolehlah buat. Jadi kalau Pakatan Rakyat yang diberikan peluang oleh rakyat negara ini untuk memerintah negara, bolehlah kita buat dan orang ramai bolehlah melihat perubahan yang akan kita lakukan itu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment