Tuesday, December 28, 2010

Gaji minimum disokong PR, ditolak BN

MTUC Optimis Pelaksanaan Gaji Minimum Sebelum PRU-13


PETALING JAYA 28 Dis.: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud optimis pelaksanaan gaji minimum dapat dilaksanakan oleh kerajaan secepat yang mungkin.

Justeru kata beliau desakan akan diperhebatkan oleh MTUC untuk memberi impak besar ke arah merealisasikan harapan pekerja di Malaysia.

"MTUC menegaskan bahawa gaji minimum RM900 dan Cola RM300 adalah satu jumlah pendapatan yang munasabah pada masa kini bagi pekerja untuk memenuhi tuntutan kehidupan sebagai seorang pekerja di negara ini," kata Syed dalam ucapan Persidangan Perwakilan Tiga-Tahunan MTUC di Rumah Peladang di sini hari ini.

Bercakap di hadapan 562 perwakilan yang hadir pagi tadi, Syed menjelaskan bahawa MTUC bersedia bersemuka dengan semua pihak termasuk kerajaan untuk memastikan MTUC terus relevan.

Sehubungan itu kata Syed lagi, MTUC akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Pembangkang membentangkan agenda pembelaan pekerja di negara ini.

"Kita sangat bersedia untuk terus mengadakan dialog dengan semua pihak asal saja Kesatuan Pekerja diiktiraf selayaknya dan dihormati," ujar beliau.

Setakat ini, menurut Syed, MTUC telah berjaya memartabatkan kaum pekerja menerusi pencapaian yang dikecapi atas desakan berterusan menuntut hak penjawat awam dan swasta seraya mengangkat institusi tersebut.

Antara yang disenaraikan termasuk kejayaan membantah cadangan penswastaan konsesi air di Selangor hingga memaksa mahkamah mengemukakan keputusan menolak cadangan tersebut selain kerjasama dengan Universiti Malaya menjalankan kajian bertauliah terperinci tentang Gaji Minimum yang dapat menyokong tuntutan MTUC.

"Kesungguhan MTUC menghalang Penswastaan Perkhidmatan Air di Selangor juga mendatangkan hasil yang yang menggalakkan apabila Mahkamah Tinggi memutuskan penghakiman yang memihak kepada MTUC," kata Syed lagi.

Dalam pada itu, isu-isu yang bakal dibahaskan pada persidangan dua hari Perwakilan MTUC kali ini termasuk bantahan berterusan kenaikan harga petrol, menolak pindaan Akta Perhubungan Persatuan dan Akta Kesatuan Pekerja.

Justeru kata beliau, pemimpin-pemimpin MTUC perlu bersiap sedia berjuang mempertahankan kepentingan kesatuan gabungan dan seluruh pekerja di Malaysia.

No comments: