Tuesday, December 28, 2010

PAS Kedah tak gerun pun

PAS tidak rasa tergugat

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/harakahdaily/person/pimpinan_ajk_PAS/mahfuz%20omar_3.jpg

ALOR SETAR, 29 Dis. : Pas menganggap tiada apa yang istimewa pada Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sehingga mampu menggugat pengaruh parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Malah Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, gandingan Ahmad Bashah dengan Datuk Mukhriz Mahathir juga tidak akan mendatangkan sebarang ancaman kepada pihaknya.

“Mukhriz boleh dianggap masih mentah manakala Ahmad Bashah pula kurang berkemampuan. Pas tak gerun langsung pada mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih perlu dilakukan gandingan itu ialah menangani gelora politik dalaman UMNO Kedah yang dijangka akan lebih membebankan berikutan pelantikan mereka.

“Baik mereka selesaikan masalah mereka dahulu, jangan usik Pas lebih-lebih lagi dengan jalan yang tidak demokratik. Kita faham, orang baru biasanya akan ghairah tunjuk belang tetapi lebih baik mereka jangan kacau kita dulu,” katanya.

Mahfuz turut mempersoalkan kriteria diguna Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelantikan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan ianya satu kesilapan.

“Bagaimanapun, Pas Kedah mengalu-alukan perubahan pucuk kepimpinan UMNO negeri dan berharap mereka memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Kerajaan Negeri.

“Saya juga harap mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan demokrasi di samping bersikap lebih terbuka menerima kritikan,”katanya.

Mahfuz berkata, kedua-dua pemimpin itu harus menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan tidak mengulangi perbuatan fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri dalam isu banjir bulan lalu.

“Mereka harus sedar perbuatan fitnah dengan memperalatkan media akan menjejaskan reputasi mereka pada mata penduduk dan tindakan itu tidak seharusnya berulang kerana ia merugikan mereka sendiri,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Ahmad menjangka gandingan Ahmad Bashah dan Mukhriz akan menghadapi tugas berat untuk menyatukan semula UMNO Kedah yang berpecah.

“Bagaimanapun, PR Kedah sentiasa bekerja keras untuk mendekati rakyat semaksimum mungkin dan kami tidak pernah menjadikan situasi kelam-kabut dalam UMNO Kedah sebagai ukuran kekuatan pengaruh kami.

“Sekalipun UMNO Kedah kembali bersatu, saya yakin rakyat Kedah akan mengekalkan sokongan kepada PR kerana nikmat kesejahteraan yang diberikan kini sudah dirasai mereka,”katanya.

Wan Salleh berkata, PR dianggotai Pas, PKR dan DAP sentiasa fokus kepada perjuangan untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan beliau yakin kerja keras mereka akan mendapat pulangan lumayan pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak guna sesuatu parti melantik pemimpin hebat-hebat sekiranya pembaharuan tidak dapat dilakukan.

“Justeru, Ahmad Bashah dan Mukhriz perlu membuktikan keupayaan mereka jika ingin melakukan perubahan dalam parti,”katanya. SH

No comments: