Tuesday, December 14, 2010

Kenyataan tutup kes tak masuk akal

Lim Kit Siang Persoal Kerajaan Tutup Kes P.Balasubramaniam













SHAH ALAM, 14 Dis. : Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan kerajaan menutup kes melibatkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang diumumkan di Parlimen hari ini sebagai tidak menyakinkan.

Menurut Kit Siang, tidak masuk akal apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan bahawa tidak ada kesalahan dilakukan oleh Bala berhubung dua akuan bersumpahnya yang bercanggah.

" Penerangan yang diberi dalam parlimen untuk menutup kes penyiasat swasta, Balasubramaniam tidak meyakinkan dan memperkukuhkan kesimpulan bahawa ada 'double standard' dalam perkara ini bahawa tidak ada keadilan dalam urusan pentadbiran.

" Dalam dua akuan bersumpah, tentulah ada satu yang tidak benar dan Balasubramaniam sendiri ada mengakui bahawa akuan bersumpah yang kedua adalah yang tidak benar dan dipaksa untuk dibuat," jelas Kit Siang ketika dihubungi Tv Selangor.

Nazri hari ini dalam Dewan Rakyat menjelaskan bahawa setelah penelitian dilakukan, didapati kedua-dua akuan bersumpah yang bercanggah bukanlah satu kesalahan kerana ia bukan dibuat bagi tujuan prosiding mahkamah.

" Oleh yang demikian, elemen di bawah 199 akta 574 tidak dipenuhi dan perbuatan Balasubramaniam dalam membuat dua akuan berkanun yang bercanggah tidak menjadi satu kesalahan di bawah seksyen tersebut.

" Setelah penelitian dibuat dan mengambilkira semua keterangan yang dikumpulkan oleh pihak polis serta fakta bahawa Balasubramaniam masih belum dikesan sehingga kini dan dipercayai berada di luar negara, Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk menutup kes tersebut kerana percanggahan dalam kedua-dua akuan berkanun Balasubramaniam tidak memberi apa-apa kesan kepada kes Altantuyaa Shaariibu," jelas Nazri.

Bala sebelum ini mengemukakan dua akuan bersumpah berkenaan pembunuhan Altantuya tetapi menarik balik pernyataan itu menerusi akuan bersumpah kedua pada keesokannya.

Bala kemudiannya tampil menjelaskan perkara tersebut dan mengakui bahawa akuan berkanun pertamanya itu adalah benar.

" Sebab itu tidak masuk akal untuk perkara ditutup apabila Balasubramniam sendiri ada berkata, akuan bersumpah pertama benar dan kedua tidak benar," tambah Kit Siang lagi.

Dilaporkan Bala kini berada di London.

Beliau yang sekian lama bersembunyi kerana khuatir dengan keselamatan diri dan anggota keluarganya, tampil menawarkan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan tahun ini.

Ironinya kerajaan Malaysia terutama SPRM setelah mendapat peluang bagi merakamkan keterangan yang ditunggu-tunggu selama ini membatalkan hasrat tersebut pada saat-saat akhir.

No comments: