KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Pakatan Rakyat dan Menteri Luar Negeri Datuk Anifah Aman bersetuju Perdana Menteri Najib Abdul Razak harus membuat penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan diplomat Singapura dalam kabel diplomatik yang dibocorkan Wikileaks.
Dalam satu sidang akhbar tergempar di Parlimen hari ini, Anifah menegaskan rutin pertemuannya dengan wakil-wakil kerajaan asing mendesak kepada satu penjelasan yang tepat dan benar.
"Saya selaku Menteri Luar dalam pertemuan bersama wakil-wakil kerajaan luar, pastinya ditanya apakah tuduhan dari kandungan Wikileaks itu benar. Maka terpulanglah pada individu yang dituduh untuk mempertahankan dirinya dari tuduhan negara jiran itu," kata Anifah.
"Saya bukan menteri luar untuk Kerajaan, saya menteri luar untuk Malaysia. Maka jika ada pertanyaan seperti itu, maka saya perlu menjawab. Sekiranya gagal memberi penjelasan, ada kemungkinan ia mengundang andaian yang tidak memberi manfaat," tegas Anifah.
Anifah berkata surat bantahan telah dikemukakan kepada Persuruhjaya Tinggi Singapura.
Sebelum ini, akhbar Australia The Sun-Herald menyiarkan kandungan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat yang didakwa dibocorkan WikiLeaks.
Kabel, dari tahun 2008 dan 2009 itu memaparkan kenyataan dari Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Bilahari Kausikan, yang berkata "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa".
Bilahari didakwa sebagai berkata Najib merasa terancam dengan skandal pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dan semakin terdesak untuk menumpaskan seteru politik beliau, bagi mengelakkan diri dari pendakwaan.
Seorang diplomat, Peter Ho, juga didakwa mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri kepada pembunuhan Altantuya
Semalam, Najib meminta rakyat Malaysia tidak menghiraukan pendedahan Wikileaks mengenai dirinya, sebaliknya fokus usaha mencapai matlamat negara.
Di satu sidang akhbar yang lain, Pakatan Rakyat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan Wisma Putra dalam isu ini.
"Perhatian penuh diberikan apabila kabel diplomatik itu menyentuh Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim , sedang Anwar bergelut di mahkamah membela dirinya. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Najib meminta rakyat Malaysia untuk tidak mengendahkan pendedahan yang menyentuh dirinya pula," kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.
No comments:
Post a Comment