Monday, January 24, 2011

"Kalau rasa tidak sah, sila keluar"

Sidang DUN Tergempar Sah, Kata Speaker


SHAH ALAM 24 Jan.: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor yang diadakan hari ini adalah sah mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri dan peraturan mesyuarat, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata walaupun notis diberikan singkat dan tidak mengikut tempoh 14 hari, Speaker boleh menggunakan kuasa mengikut Peraturan Tetap Mesyuarat 10 (3) yang lazim dilakukan dalam persidangan dewan negara-negara Komanwel.

"Kalau rasa (sidang) tidak sah, sila keluar. Memang (notis) dalam 14 hari tetapi Speaker boleh menandatangani satu sijil yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan sidang ini.

"Kalau ikut Peraturan 43 dan 87, keputusan Speaker adalah muktamad. Tapi kalau hendak mencabar boleh buat usul," katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Teng berkata isu sah atau tidak sudah selesai dan meminta perbahasan diteruskan sebelum beliau menggunakan Peraturan 44 (1) dan 44 (2) yang mengarahkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri keluar dewan, lapor Bernama.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) berkata sidang dewan itu tidak sah kerana notis yang diberi tidak mencukupi 14 hari.

"Kami hanya menerima notis pada 11 Jan 2011 sedangkan Rang undang-undang ini diwartakan pada 18 Jan. Sepatutnya notis hanya dihantar selepas 18 Jan dan sidang hanya akan dapat diadakan pada 2 Feb 2011," katanya.

Teng kemudian meminta Mohamad Satim menghafal dan membaca Peraturan Mesyuarat tetapi jika beliau tidak mahu melakukan kedua-duanya, Teng berkata ia adalah sesuatu yang memalukan.

Mohamad Satim, yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, berkata: "Wah...banyak (nasihat)... Baru puji macam ini ke?" katanya merujuk ucapan tahniah kepada Teng yang mendapat gelaran Datuk daripada Sultan Selangor baru-baru ini.


"Macam inilah, saya nak tuan Speaker terangkan (perkara ini sah atau tidak) yang sebelah sana pun (penyokong kerajaan) bukan faham sangat," katanya.

Teng, yang pernah menjadi Ketua Pembangkang selama beberapa penggal di DUN Selangor, meminta Mohamad Satim belajar dengannya ataupun dengan Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini selepas dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

No comments: