SHAH ALAM 24 Jan. : Sidang Khas Dewan Negeri Selangor hari ini menyerlahkan keikhlasan dan ketelusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat setelah mengusulkan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang bertujuan memberi penjelasan berkenaan tatacara perlantikan pegawai kanan kerajaan negeri yang menjadi kontroversi sebelum ini.
Tindakan ini sekaligus meleraikan amalan kerajaan Umno silam yang mengongkong Raja-Raja Melayu bagi meneruskan kelangsungan hayat politik parti itu.
Bagaimanapun ia tidak mendapat kelulusan dewan untuk dibahaskan untuk kali yang ke dua kerana 20 wakil rakyat Barisan Nasional bertindak menolak usul berkenaan dengan hujah-hujah yang kurang matang. Dengan 34 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat menyokong.
Walaupun ditolak, hasrat Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim mudah difahami rakyat kerana melalui hujah dan pembentangan hari ini menampakkan kematangan Pakatan Rakyat yang mahu meleraikan kekalutan berkenaan.
Terdahulu dalam ucapan pagi tadi menyatakan cadangan pindaan hari ini akan mengembalikan semula peruntukan asal yang termaktub dalam perlembagaan negeri. Antara lain bertujuan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam urusan berkenaan.
Khalid berkata, sidang DUN hari ini dilakukan berasaskan Peraturan 10 (3) bagi meminda Perkara 51 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
"Selaku Menteri Besar, saya berasa bertanggungjawab untuk memperbetul amalan sumbang yang selama ini dilakukan pentadbiran Umno sejak pindaan Perlembagaan 1993. Pindaan tersebut ternyata mengakibatkan peranan Negeri dan Sultan bercelaru dan kabur.
"Justeru itu, hari ini kita hendak meletakkan duduk perkara dengan sejelas-jelasnya. Pentadbiran sebelum ini gagal dan tidak mampu membetulkannya kerana walaupun mereka mentadbir negeri, namun pemikiran mereka terpasung dan hati mereka berkiblatkan Putrajaya. Dalam perkataan lain mereka tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Duli Yang Maha Mulia Sultan," katanya.
Dalam ucapan itu juga Khalid menyatakan perbezaan di antara kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat kini yang berani melakukan perubahan bagi memastikan generasi akan datang berada dalam kekaburan dan celaru.
"Selaku penggubal undang-undang yang bertangggungjawab dan mempunyai kekuatan ilmu, iman dan jati diri, kita hendak melakukan yang terbaik. Akhirnya, tidak ada lagi individu mahupun puak yang berani melanggar kuasa Negeri mahupun kuasa Sultan," jelasnya.
Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; baik Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.
"Kerajaan Negeri yakin bahawa tatkala ia mempunyai hak untuk menasihatkan sultan ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali dan profesional perlu diberi peluang. Dalam pada itu kami juga sedar bahawa Duli Tuanku sebagai sultan yang begitu lama dan berpengalaman sebagai Raja Muda - yang paling lama dalam sejarah negara, sebelum memegang tampuk pemerintahan Negeri.
"Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dengan kehendak Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan asasi dalam negeri," katanya.
Pindaan tergopoh-gapah oleh Umno pada 1993 adalah ganjil kerana dalam pindaan itu ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik. Sepatutnya ada kuasa tertentu yang diperuntukkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa masalah yang cuba diselesaikan oleh Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 adalah menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak harus disentuh.
Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja bersetuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu adalah imuniti. Kelihatannya UMNO menggunakan kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang gusar dan membingungkan ketika itu.
"Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang - checks and balances - dalam perlembagaan.
"Kami percaya bahawa konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa mereka terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. UMNO berpendapat sebaliknya; nampaknya bagi mereka, Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke sini mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang," katanya.
Dalam ucapan itu juga Khalid melahirkan rasa kecewanya dengan tuduhan Umno-BN menuduh Pakatan Rakyat mencuri kuasa Raja-Raja dengan pindaan ini.
Tetapi beliau mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan bahawa Umnolah yang sebenarnya menghakis kuasa Raja-Raja Melayu apabila meminda perlembagaan pada 1993.
"Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Umno mahu membolot dan mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Dalam pada itu media juga dikongkong melalui undang-undang. Rakyat juga tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Umno ketakutan terhadap janji Pakatan Rakyat yang hendak menghapuskan ini semua; Umno tidak biasa dan tidak berani bermain dalam lapangan yang sama rata dan adil. Sebab itu belum apa-apa lagi, Umno sudah membuat pelbagai tohmah dan tuduhan terhadap inisiatif Pakatan Rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment