Monday, January 24, 2011

MCA makin hilang sokongan di Labis

Tenangkah Sokongan Masyarakat Tionghua Kepada MCA?


Artikel : Pilihan raya kecil Tenang yang akan berlangsung pada Ahad depan adalah PRK yang ke-15 sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12.

Sudah tentu pada permukaannya di Johor khususnya di DUN Tenang, segalanya amat tenang seperti yang tertera pada nama kawasan berkenaan. Tenang hingga tidak akan berlaku sebarang kejutan. Maklum juga bahawa Johor adalah kubu kuat buat Barisan Nasional dan MCA.

Pastinya juga, keyakinan untuk mengekalkan kerusi Tenang cukup tinggi apatah memenanginya dengan undi majoriti yang lebih tinggi seperti yang diuar-uarkan oleh Timbalan Perdana Menteri tempoh hari.

Pada kertas, BN tidak memiliki sebarang masalah untuk menang. Tambahan pula, BN kini dilihat berada pada momentum yang menaik. Jika mengambil senario politik semasa serta penerimaan masyarakat di sana, calon BN iaitu Mohd Azahar Ibrahim mungkin boleh menutup mata dan meraih sokongan penduduk dengan mudah.

Namun dalam era pasca PRU 12, sentimen sedemikian sudah tidak boleh dipakai lagi. Bagi MCA terutamanya, PRK Tenang boleh diibaratkan sebagai medan terakhir untuk mereka meyakinkan pucuk pimpinan BN bahawa ia masih bertaring dan bernyawa.

Mengandaikan bahawa PRU 13 akan dilangsungkan pada Mac nanti, Tenang akan menjadi penanda aras kepada sejauh mana penerimaan masyarakat Tionghua kepada MCA.

Mampukah paras sokongan masyarakat Tionghua kepada MCA yang terus berada pada paras 20-25 peratus dalam dua tahun kebelakangan ini akan berubah? Ataupun ia akan terus merudum sekaligus menyulitkan pengaruh MCA di Johor?

Jika calon BN memang dengan undi majoriti yang lebih tinggi dan penambahan sokongan orang Tionghua, maka MCA dan Presidennya, boleh menarik nafas lega. Bagaimanapun, sekiranya keadaan sebalik yang berlaku, maka segala ketenangan yang digembar-gemburkan itu mungkin berubah sekelip mata ibarat kepingan domino yang runtuh.

Dalam erti kata lain, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkemungkinan berhadapan dengan keadaan yang kurang menyenangkan. Keputusan PRK Tenang adalah cukup signifikan buat Soi Lek dan MCA atas beberapa sebab.

Antaranya, DUN Tenang merupakan salah satu kawasan DUN yang terletak di bawah Parlimen Labis iaitu kawasan Parlimen yang pernah disandangnya enam tahun lepas. Soi Lek sememangnya disegani di sana. Sebarang kemerosotan undian masyarakat Tionghua kepada MCA, adalah pukulan hebat kepada Soi Lek dan imejnya sebagai pemimpin masyarakat Tionghua.

Sudah pastinya, musuh politik beliau akan menggunakan isu ini sebagai satu senjata untuk melemahkan kedudukannya sebagai orang nombor satu parti. Sebarang kemerosotan sokongan masyarakat Tionghua di Tenang selepas ini boleh ditafsirkan bahawa masyarakat Tionghua tidak yakin dengan kepimpinan beliau.

Boleh dikatakan bahawa masyarakat Tionghua sudah mempunyai pendirian masing-masing untuk tidak sokong MCA kerana bosan dengan kemelut dalaman parti yang tidak berkesudahan.

Sebagai Ahli Parlimen Labis yang disegani, kegagalan untuk menaikkan sokongan masyarakat Tionghua bererti beliau mungkin kehilangan legitimasi untuk mewakili orang Cina. Ini hanya bererti bahawa MCA tidak boleh terus mendakwa dirinya sebagai pejuang kepada suara orang Tionghua. Adalah cukup ironis jika mereka terus berbuat begitu.

Selama ini, faktor kubu kuat sering dijadikan alasan untuk meraih sokongan pengundi tetapi mengambil kira sentimen masyarakat Tionghua yang berubah-ubah seperti yang dilihat di Sibu dan Hulu Selangor, alasan itu mungkin tidak relevan lagi.

Komposisi pengundi Tionghua di Tenang agak besar iaitu 38.13 peratus. Jumlah tersebut mewakili hampir setengah daripada jumlah keseluruhan penduduk di Tenang. Mengambil kira iklim politik semasa, MCA boleh dianggap bernasib baik jika mampu mendapat antara 20 peratus hingga 25 peratus sokongan.

Perlu diingat bahawa pengaruh dan sokongan DAP di Johor sejak kebelakangan ini menampakkan peningkatan dan ia tidak harus dipandang remeh. Kegagalan untuk meraih sokongan pengundi Tionghua hanya akan memberikan tanggapan bahawa kubu kuat terakhir MCA di Johor, bakal tergugat pada PRU akan datang.

Di Tenang kali ini juga, bakal menyaksikan pertembungan antara dua Chua iaitu Chua Soi Lek dan Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng. Umum mengetahui bahawa Jui Meng merupakan pemimpin yang popular di Bakri lebih-lebih lagi beliau adalah ahli Parlimen kawasan itu selama lima penggal.

Pertembungan dua Chua ini menarik kerana masing-masing teringin untuk menentukan siapakah antara dua Chua yang lebih berpengaruh. Menambahkan kehangatan pertembungan itu ialah Soi Lek merupakan orang yang menggantikan Jui Meng sebagai Menteri Kesihatan.

Sebarang keputusan yang tidak memihak kepada Soi Lek dan MCA akan mengundang tekanan daripada parti komponen lain untuk meletakkan calon yang boleh menang pada PRU 13. Parti-parti komponen tadi barangkali akan mempersoalkan kekuatan dan kerelevanan MCA untuk terus bertanding di kawasan yang pernah diserahkannya dahulu.

Andai kata MCA gagal raih sokongan masyarakat Tionghua di Tenang dengan menyeluruh, DAP bersedia untuk mengambil teraju kepimpinan sebagai wakil utama masyarakat Tionghua. Jika senario ini menjadi kenyataan, maka kepimpinan Soi Lek dijangka berhadapan dengan situasi yang tidak menentu sekalipun pemilihan parti MCA dikhabarkan akan ditangguhkan.

Justeru, tidaklah mengejutkan jika senario yang kalut berlaku dalam MCA (yakni perebutan kuasa) sekiranya kedudukan Soi Lek semakin longgar. Sejarah silam sudah membuktikan ia pernah berlaku dan boleh berlaku semula.

Tetapi jika sokongan pengundi Tionghua meningkat, ia bererti bahawa Soi Lek boleh menarik nafas lega dan berbangga bahawa MCA yang dipimpinnya sudah diterima semula oleh masyarakat Tionghua.

Apapun, air yang tenang jangan disangkakan tiada buaya. Begitu juga dengan PRK Tenang. Mungkinkah terdapat kejutan yang bakal berlaku selepas ini? Mampukah MCA mampu tersenyum lebar dengan paras sokongan masyarakat Tionghua di Tenang?

No comments: