Sunday, January 23, 2011

Kerajaan BN kena jawab aliran wang haram RM 208 bilion

Anwar : Mustahil Dana Haram RM208 Bilion Tidak Dapat Dikesan


AMPANG 23 Jan. : Kerajaan Barisan Nasional perlu menjelaskan aliran dana haram sebanyak RM208 Bilion pada tahun 2008 seperti yang dilaporkan oleh Global Financial Integrity baru-baru ini.

Dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Keadilan Network di Kelab Darul Ehsan, Ampang pagi tadi, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat menuntut kerajaan BN untuk menjelaskan aliran wang ini sekiranya kerajaan tiada apa-apa untuk disembunyikan.

"Kita tuntut supaya Kementerian Kewangan memberi jawapan dan membuat kajian menyeluruh, dan jangan melindungi perasuah ini. Sekiranya gagal, ternyata ada kaitan atau hubung kait pemimpin-pemimpin besar Umno dan kerajaan melindungi.Mustahil RM208 Billion tidak dapat dikesan," tegas beliau.

Beliau menjelaskan, laporan tersebut yang menyatakan pada tahun 2008 sahaja, aliran keluar dana haram dari Malaysia adalah sebanyak RM208 Billion dan dua punca utama wujudnya wang haram ini adalah rasuah dan aktiviti oleh segelintir pihak yang mengelak daripada membayar cukai yang sepatutnya.

Kebetulannya pada Mac 2008, parti Umno-BN yang telah memerintah negara ini sejak merdeka hilang dua pertiga majoriti kerusi parlimen dalam pilihanraya umum ke-12 kepada gabungan parti-parti pembangkang pimpinan Anwar, Pakatan Rakyat.

Beliau seterusnya menjelaskan, laporan itu juga menyatakan jumlah aliran keluar dana haram meningkat secara mendadak dari tahun 2000 ke 2009, di mana aliran keluar dana haram pada tahun 2000 adalah RM67.7 Bilion dan pada tahun 2008 pula, jumlah tersebut meningkat kepada RM208 Bilion.

"2000 - 2009 lonjakan Malaysia itu meningkat kerana ratus bilion ringgit dipindah keluar secara haram. Istilahnya ialah 'Illicit funds outflow from Malaysia, 2000 to 2009' dan laporan ini boleh diperolehi," kata beliau lagi.

Anwar seterusnya menyatakan satu kajian yang bebas perlu dilakukan bagi menangani isu ini dan pada masa yang sama, Kementerian Kewangan dan Bank Negara harus memberikan penjelasan yang kukuh tanpa percubaan menutup atau melindungi mana-mana pihak.

Beliau menyatakan, bahayanya aliran keluar dana haram ini adalah kerana ini diibaratkan sebagai perompakan dana dari dalam negara melalui rasuah dan sebagainya, dan dipindahan keluar.

"But its very serious, saya pun tidak jangkakan jumlah yang disebut itu mencapai jumlah sebanyak RM200 billion. Saya tidak terfikir sampai ke situ kerana kalau jumlah sebegitu dia terlalu ketara jumlahnya. Maknanya kalau lari jumlahnya kita boleh tengok rekod," kata beliau lagi.

No comments: