Sunday, January 23, 2011

MB Negeri Sembilan sahaja 'seludup' RM 10 Juta ke luar negara

Dr Dzulkefly : Dakwa Pelaku, Jangan Pilih Kasih


SHAH ALAM 23 Jan. : Kerajaan digesa agar semua pelaku yang terlibat dalam skandal aliran keluar wang haram perlu dihadapkan ke muka pengadilan tanpa berlaku sebarang pilih kasih, tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ujarnya, masalah ini perlu ditangani secara agresif walaupun pesalahnya terdiri daripada orang kenamaan kerana ia melibatkan masa depan negara.

Menurut laporan GFI, aliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion (AS$22.2 bilion) namun lapan tahun kemudian, melonjak kepada RM208 bilion (AS$68.2 bilion).

Jumlah itu setelah dikumpulkan berjumlah RM888 bilion (AS$291 bilion) sepanjang tahun 2000-2008.

" Akhirnya kita mahukan semua pesalah dan pelaku perkara ini mesti dihadapkan dengan tidak melindungi siapa pun walaupun menteri besar, menteri, perdana menteri atau pihak-pihak dalam Pakatan Rakyat," katanya kepada Tv Selangor.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan 'penyeludupan' RM10 juta yang dikirim ke luar negara oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Haji Hassan.

Wang RM10 juta itu dikirim ke London pada 2008 melalui Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd iaitu salah satu lesen perniagaan pengurupan wang yang dibatalkan.

Sehingga ke hari ini kes tersebut belum diselesaikan walaupun Bank Negara Malaysia mengakui mempunyai bukti bahawa Hassan terlibat dalam 'penyeludupan' wang berkenaan.

Malah beberapa lagi kes melibatkan aliran wang secara haram dilaporkan, namun tidak ada pendakwaan dilakukan.

" Dengan kata lain, mereka sebenarnya tidak menjalankan tugas menjaga perbendaharaan negara dengan baik kerana gagal mengekang dan menghentikan pengaliran keluar dana secara haram di negara ini," kata Dr Dzul.

Justeru ujar beliau, masalah yang serius ini haruslah segera ditangani seraya menyokong cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu laporan Global Financial Integrity (GFI) diberi perhatian.

GFI mendefinisikan aliran keluar wang haram sebagai pemindahan wang yang dijana menerusi aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, aktiviti jenayah dan usaha mengelak cukai ke atas kejayaan diperoleh.

Justeru itu, Dr Dzul menyambut baik cadangan Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menjalankan siasatan secara rapi dan menyeluruh kerana ia melibatkan wang rakyat.

" Satu jumlah yang dalam kata lain menafikan rakyat Malaysia menggunakan, memanfaatkan dana tersebut. Ini cukup malang dan begitu mengejutkan dan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan Umno-Barisan Nasional.

" Impak yang paling besar adalah dana tersebut sebenarnya adalah kegunaan pembangunan pelaburan untuk rakyat di negara ini. Dengan kata lain satu kehilangan yang cukup besar," tambahnya lagi.

No comments: