Thursday, January 27, 2011

Laporan Khas PRK DUN Tenang : Umno semakin bimbang , kempen PAS cemerlang

Umno Terus Hakis Kepercayaan Rakyat Di Felda Tenang


Artikel : Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kini merupakan medan kedua-dua parti PAS-Pakatan Rakyat dan Umno-Barisan Nasional mengukur sejauhmana relevannya dasar yang cuba diterjemahkan kepada masyarakat di kawasan itu.

Ini bagi merebut kerusi yang menjanjikan kestabilan politik negeri Johor selain melakar perubahan baru dalam citarasa pengundi.

Bagi parti PAS-Pakatan Rakyat (PR), pilihanraya kecil kali ini menjadi subjek baru perluasan proses demokrasi ke tanah gugusan Felda yang semakin terhakis saban hari.

Namun peneroka generasi pertama yang rata-rata telah menetap lebih daripada 40 tahun di Felda Tenang menyaksikan naik turun pembangunan tanah rancangan kerajaan itu.

Masuk hari ketujuh kempen pilihanraya kecil memperlihatkan keupayaan calon-calon wakil rakyat cuba mendekati dan memahami kehendak masyarkat setempat khususnya di tiga tanah rancangan Felda DUN Tenang.

Tumpuan dikhususkan kepada anak-anak peneroka Felda terdiri daripada generasi kedua yang sering dijanjikan habuan oleh kerajaan kini.

Berdasarkan perangkaan terkini yang dikeluarkan, pengundi di tiga Felda DUN Tenang, iaitu Felda Chemplak, Felda Chemplak Barat dan Felda Tenang adalah seramai 4,118 (28%) orang daripada jumlah pengundi keseluruhan 14,753 orang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus terdiri daripada pengundi-pengundi generasi kedua dan ketiga yang mengusahakan tanah rancangan Felda.

Namun dapat disaksikan bahawa persepsi peneroka Felda terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional menampakkan perubahan dengan tampil lebih berani menyuarakan kekesalan akibat sering ditindas badan kerajaan itu.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda, Mazlan Aliman meluangkan masa untuk ditemuramah bagi merungkai permasalahan peneroka-peneroka Felda sejak tahun 1962 yang harus diberi perhatian serius kerajaan pusat.

Dalam temubual eksklusif bersama krew Tv Selangor, Mazlan menyifatkan kebangkitan masyarakat Felda menentang penindasan menampakkan hasil positif terutama golongan generasi kedua yang kini mengambil-alih perusahaan tanaman.

"Saya katakan positif kerana pada awalnya kebimbangan kita ialah apabila Najib datang mereka akan beralih arah terutama orang muda tetapi apa yang mengembirakan ialah penentangan mereka terhadap BN semakin kuat. Terutama retorik-retorik oleh mereka," kata beliau.

Beliau turut menyenaraikan janji-janji yang diberi oleh kerajaan pusat untuk membantu menaiktaraf kehidupan keluarga peneroka Felda namun menurut beliau sehingga ke hari ini, tidak menampakkan usaha mengotakan janji mereka.

Antara yang disebut Mazlan termasuk pengumuman Perdana Menteri Najib Razak berjumlah RM8.5 juta untuk 500 lot tanah kepada peneroka Felda generasi kedua tanpa membekalkan dengan perincian mekanisma untuk projek pembangunan tanah tersebut.

Katanya, anak-anak peneroka Felda telahpun menemui pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kepastian selain menuntut jadual pelaksanaan projek yang dijanjikan, namun usaha mereka hampa.

Tambahnya lagi, kerajaan cuba mengelirukan negara dan masyarakat berhubung pendapatan bersih peneroka Felda yang kini mencecah RM3,000 sebulan tanpa mengemukakan bukti nama peneroka-peneroka tersebut.

Antara masalah lain menurutnya termasuk, ada peneroka yang memperoleh tanah kurang daripada 8 ekar, tanah yang dipajak kepada orang luar termasuk peneroka yang tidak mendapat hak milik.

Dasar Pakatan Rakyat yang dibawa kepada masyarakat Felda di sini terutamanya membuka laluan baru harapan nasib yang jauh lebih terbela.

Mazlan yang juga Ketua Penerangan PAS Johor, menyifatkan usaha PAS untuk memecahkan benteng kukuh Umno-Barisan Nasional di DUN Tenang terutama di kawasan Felda menerusi usaha calon, Normala Sudirman dapat diadaptasi menerusi penyelarasan usaha pembangunan generasi kedua dan ketiga di tiga tanah rancangan itu.

Tambahnya, antara perkara penting yang tidak mampu dilakukan Umno-Barisan Nasional adalah penghapusan Felda Plantation seperti yang termaktub dalam dasar pelaksanaan 'Buku Jingga' yang dianggarkan dapat memberi habuan kepada 79 ribu anak peneroka seraya meningkatkan sosioekonomi masyarakat itu.

"Ini satu komitmen yang sangat jelas BN tidak berani melakukan. 367,710 hektar tanah Felda Plantation dimansuhkan jadikan kepada aset peneroka ia boleh memberi manfaat kepada 79,000 anak-anak peneroka. satu jumlah yang boleh mengangkat sosio ekonomi generasi kedua," tegas beliau.

Justeru, kempen pilihanraya kecil yang masuk hari ketujuh di DUN Tenang dianggarkan mampu melonjakkan undi masyarakat Felda kepada 27 peratus berbanding 18 peratus pada PIlihanraya Umum ke 12 lalu.

"Saya yakin kali ini ia akan lebih dari 23 peratus. sekarang ini 18 dan saya yakin ia akan mencapai target dan kita sedang bekerja kuat bertemu pengundi di Felda serta mendapat 27 peratus undi di kawasan Felda.

Dalam pada itu, lawatan krew Tv Selangor ke Felda Tenang berjaya menemui seorang daripada peneroka asal tanah rancangan Felda yang telah menetap di situ sejak tahun 1962.

Zakaria Dias, berumur 81 tahun menceritakan kepada Tv Selangor tentang pengalaman yang dilalui beliau sepanjang 49 tahun berurusan dengan agensi kerajaan itu.
"Dia menceritakan pasal kemajuan Felda. Kami ini tetap lima ekar. Ini yang menjadi masalah. Patut kami yang dibantu. Cuba bayangkan anak pakcik sepuluh. Hendak beri seorang seekar pun tidak cukup.

"Yang pedihnya, tanah yang kurang daripada 6 ekar kalau tidak mahu pergi minta di tempat lain. Mereka sarankan. Kami waktu itu anak sudah sekolah, sudah menetap di sini dan ada rumah. Sedih pakcik. Kalau kamu tolong 8 ekar ke bawah, pakcik ingat 100 orang ada," jelas beliau dengan nada simpati.

Menurut Zakaria, ketika mula menawarkan diri mengusahakan tanah rancangan itu, Felda berjanji untuk memberi 10 ekar tanah kepada setiap peneroka untuk diusahakan.

Tambahnya, Felda menawarkan ganjaran tahunan sebanyak RM400 kepada peneroka yang tanahnya kurang daripada 10 ekar namun menurut Zakaria, apa yang terjadi ialah tanah peneroka yang kurang daripada 4 ekar tidak layak mendapat imbuhan tersebut.

Beliau lalu mempersoalkan janji Felda kepada peneroka-peneroka tanah rancangan dengan menyatakan hasrat untuk menambah tanah mereka namun katanya, tanah tersebut diberikan kepada peneroka generasi keempat yang diumpan Umno-Barisan Nasional seraya mengabaikan peneroka asal di kawasan itu.

"Sekarang ini pakcik ada hantar surat kepada pengerusi Felda yang baru dan pada parti PAS dan Umno dalam krisis untuk membantu pakcik. Pakcik tidak kisah apa parti memerintah. Selesaikan kami dahulu.

"Derhaka pakcik ini, Felda lagi kuat derhaka. Masa pakcik tanam getah, ada potongan insuran. Bila pokok muda dilanggar angin, tiada insuran dan disuruh tanam sendiri. Apa kamu rasa?

Zakaria juga menyuarakan kekesalan terhadap keputusan Felda memberi tanah paya kepada anak peserta.

"Cuba kamu lihat di sana, dia mahu beri tanah anak peserta. Tapi tanah dibuat dalam paya. Pakcik cukup sedih. Kalau tempat itu air dalam sampai dada. Kalau mahu beri biarlah tanah yang tidak bertakung. Pakcik orang bodoh pun tahu. Kalau pakcik beri tanah kepada anak, di mana mereka mahu kerja. Cuba fikir. Kalau ada kilang di sini boleh dia (anak) kerja. Hendak harap tanah 8 ekar," kata beliau lagi.

Berdasarkan analisis ringkas tersebut dapat digambarkan warga Felda adalah penentu kepada kepimpinan negara kini.

Keputusan untuk terus bersama Umno-Barisan Nasional pada pilihanraya kecil nanti akan memperkukuhkan lagi penindasan parti itu terhadap peneroka Felda yang rata-rata memberi harapan penuh kepada kerajaan mengangkat status mereka.

Penjanaan keuntungan Felda yang berbilion ringgit saban tahun tidak mampu mencorak kehidupan baru peneroka-peneroka.

Justeru kerajaan Pakatan Rakyat bersedia mengubal dasar Felda bagi mengembalikan keuntungan kepada peneroka melalui pelaksanaan yang termaktub dalam 'Buku Jingga' seraya dapat menjalankan proses penambahbaikan sektor pentadbiran, ekonomi dan sosial masyarakat itu.

No comments: