Sunday, January 23, 2011

Pindaan Perlembagaan 1993 tidak sah kerana tidak diperkenan Majlis Raja-Raja

Kembalikan perlembagaan kepada yang asal

SHAH ALAM, 24 Jan: Kerajaan negeri Selangor berpendapat Pindaan Perlemabagaan 1993 tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Ini kerana, tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti.
"Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan," kata Tan Seri Khalid ketika membentangkan ucapan untuk meminda perlembagaan negeri Selangor agar dikembalikan kepada asal iaitu sebelum pindaan 1993.

Berikut adalah ucapan penuh Khalid yang diedarkan oleh oleh Sekretariat Akhbar pejabat MB:

RINGASAN UCAPAN DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pengenalan

Mesyuarat di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hari ini diadakan untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1).

Ini kerana, tindakan Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat dan berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri.

Pindaan yang dicadangkan hari ini sebagai perubahan supaya generasi akan datang tidak lagi dalam kekaburan dan tiada lagi individu atau puak tertentu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan.

Pakatan Rakyat komited untuk menjunjung Perlembagaan baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran hari ini.

Atas prinsip yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Latar belakang krisis Perlembagaan

Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja.

Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi - “tiada apa-apa undang- undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Pemimpin utama ketika itu telah melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan ialah Perkara 66(5).

Peruntukan asal berbunyi

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang DiPertuan Agung menandatangani”.

Manakala peruntukan pindaan ialah;

“Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang”.

Perkara 10(1), dimana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat tersebut.

Perkara 66(4) dan (4A) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan – ialah:

Sebuah Rang Undang-undang akan menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan.

Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera di bawah seksyen 11(2A) dan (2C).

Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ini termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan di mana ia dengan jelas menyatakan bahawa “Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja.

Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. UMNO pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja.

UMNO sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku kesempitan politik.

Peranan Raja, Kerajaan dan Perkhidmatan Awam dalam pentadbiran negeri Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan yang mana Yang di-Pertuan Agong – di peringkat Persekutuan – adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri.

Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan.

Di bawah kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya –yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) – mesti bertanggungjawab ke atas segala keputusan dan dasar yang dibuat dan dilaksanakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan namun bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana dari terperangkap dalam kontroversi dan politik.

Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan di bawah Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 – iaitu Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor - begitu ganjil sekali. Ini kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik: sepatutnya ada kuasa tertentu yang diletakkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Jika dibandingkan dengan Perkara 144 Perlembagaan, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor.

Pindaan 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti. Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan.

Konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. Umno berpendapat sebaliknya; bagi mereka Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980an hinggalah sekarang.

Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat atas konsep ketuanan rakyat.

Disediakan oleh

Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

1 comment:

izzat said...

terjumpa entry ni ketika mencari kuasa raja2 melayu,,,sy nak tny,,,bgaimana pindaan ini bole terjadi sedangkan tiada perkenan raja2,,ape yg berlaku?