Saturday, February 19, 2011

Zaman BN perintah sampai sudah tak selesai , zaman PR selesai tahun ini

Projek Terbengkalai 10 Tahun Akan Diselesaikan Oktober Ini


KUALA SELANGOR 19 Feb.: Kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan akan menyelesaikan projek perumahan Alam Perdana, Ijok yang terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu menjelang Oktober tahun ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, kerajaan negeri akan memantau projek perumahan tersebut sepenuhnya dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dapat diselesaikan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

“Tiap-tiap bulan, Lembaga Perumahan akan bawa pegawai dari pejabat daerah dan PBT Kuala Selangor serta wakil-wakil pembeli beserta jurutera untuk melawat tapak dan mengetahui statusnya tiap-tiap bulan. Kita akan pergi dan kita akan tahu statusnya. Laporan lawatan akan dipaparkan dalam laman web dan akan dikemaskini oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor,"jelas Khalid.

Khalid yang ditemui pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama 383 peneroka dan pembeli rumah teres menegaskan, projek ini hanya dapat diteruskan sekiranya kerajaan negeri memperolehi dana yang mencukupi.

“Bagaimanapun saya telah menerangkan status bagaimana pemulihan ini dapat dilakukan. Pemulihan ini hanya boleh dilakukan jika kita ada cukup dana untuk buat rumah-rumah tersebut iaitu kira-kira RM40 juta,"katanya.

Justeru itu, bagi memastikan ia berjalan lancar, Khalid berkata kerajaan negeri akan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.

Namun, mereka perlu memberi jaminan secara peribadi bahawa projek ini dapat diselesaikan.

Kerajaan Selangor sebelum ini membelanjakan hampir RM120 juta untuk mengambil alih tanah seluas 900 ekar di Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor, susulan kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan itu sejak tahun 2000.

Kos itu melibatkan pengambilalihan 392 ekar tanah bernilai RM52juta untuk pembinaan 2,500 unit rumah kos rendah (KRK), tanah untuk pembinaan kolam tadahan air hujan (tangki air) seluas 294 ekar bernilai RM39.1 juta dan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Kumbahan seluas 214 ekar bernilai RM28.4 juta.

Kesemua kos berjumlah RM120 juta ini terkandung dalam cadangan penyelesaian oleh kerajaan negeri.

No comments: