Wednesday, March 2, 2011

Kerajaan Kedah beri RM 5000 ganjaran julang Piala Suzuki

Pemain bola sepak dirai

http://www.arena.my/Portals/0/KEDAH%20L.jpgALOR SETAR - Seramai lima pemain bola yang beraksi cemerlang membantu skuad negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini, termasuk seorang Penolong Jurulatih pasukan negara iaitu Tan Cheng Hoe yang berasal dari Kedah serta pernah bermain untuk skuad Kedah, menerima ganjaran wang tunai RM5,000 setiap seorang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ganjaran itu adalah sebagai penghargaan kepada pemain bola sepak negeri ini yang mengharumkan nama negeri dan negara ke peringkat antarabangsa.

“Mereka berjaya merangkul Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini, dan atas kejayaan itu, kita memberikan penghargaan kepada mereka dengan memberikan ganjaran RM5,000 seorang termasuk kepada seorang penolong jurulatih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Lima pemain bertuah itu ialah pemain sayap Mohd Khyril Muhymeen Zambri, pertahanan, Mohd Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari serta pemain tengah Mohammad Faizal Abu Bakar dan Amar Rohidan yang berhijrah dari Perlis.

Sementara itu, Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut diminta mengulas mengenai prestasi Kedah yang berada di kedudukan kelapan dalam Liga Super 2011.

Menurutnya, tidak mustahil untuk pasukan negeri bangkit dari kedudukan itu dan menjuarai Liga Super pada musim ini.

“Saya berharap agar mereka akan berusaha bersungguh-sungguh, kemudahan yang ada untuk mereka seperti kemudahan di England, bezanya gaji sahaja, jadi kita harap mereka dapat tingkatkan usaha, pada saya tidak mustahil (untuk Kedah muncul juara),” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai ganjaran berupa tanah terhadap pemain yang dipertimbangkan Kerajaan Negeri sebelum ini, Azizan berkata, itu cerita lain.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dilapor akan mempertimbangkan untuk memberi ganjaran lot tanah di Pokok Sena, kepada pemain negeri yang cemerlang namun belum ada pengumuman rasmi dibuat mengenai perkara itu.

No comments: