Saturday, March 26, 2011

Makam ditemui, sejarah Daeng Perani diperingati

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dscn3780.jpg

SUNGAI PETANI, 14 Mac - Sejarah telah mencatatkan Empayar Kesultanan Melayu Kedah pernah bergoncang apabila takhta pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) cuba direbut oleh adindanya dengan bantuan Raja Kecil dari Siak pada tahun 1722 Masihi.

Namun tampok pemerintahan berjaya diambil semula Sultan Muhamad Jiwa dengan bantuan ketenteraan pahlawan Bugis yang tersohor handal iaitu Upu Daeng Perani.

Ini diberitahu Ahli Dewan Negara YB Senator Zambri Yusof di majlis pelancaran dan perasmian artifak-artifak sempena lawatan Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz ke makam Upu Daeng Perani.

Katanya lagi, perebutan takhta tidak terhenti setakat itu, dua tahun kemudian Sultan Kedah terpaksa memanggil sekali lagi pahlawan Upu Daeng Perani bagi memerangi adindanya yang berniat menggulingkan pemerintahan baginda.

Kedatangan kali kedua ke Kedah telah mengundang padah apabila Upu Daeng Perani telah terkorban dalam pertempuran yang berlaku sekitar Pinang Tunggal.

Ketika itu kawasan Pinang Tunggal dan seluruh Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada negeri Kedah.

“Peristiwa tragis ini berlaku 300 tahun dahulu dan pada tahun 2007 barulah makam Upu Daeng Perani ditemui dan disahkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah setelah diadakan beberapa forum serta seminar mengenainya,” katanya di hadapan 250 penduduk kampung itu.

Beliau yang mewakili Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan YB Dato’ Dr hamdan Mohamed Khalib berkata, lawatan YTM Tunku Puteri ke makam berkenaan memberi kesan mendalam kepada penduduk Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam Kiri yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Teluk Bagan.

“Kesudian YTM Tunku Puteri memijak kaki ke kampung ini telah memberi kesan yang mendalam serta seribu rahmat kepada seluruh penduduk kampung Ekor Lubuk serta kampung-kampung berdekatan.

“Berdasarkan jasa mengembalikan singgahana takhta Sultan Muhamad Jiwa telah mengahwinkan Upu Daeng Perani dengan adindanya yang bernama Tunku Aishah dan kampung itu wujud dan diterokai oleh keturunan ini.

“Ini adalah petanda baik bagi seluruh penduduk kampung yang selama ini menjadi rakyat negeri Kedah yang hanya menatap wajah YTM Tunku Puteri di kaca televisyen dan dalam akhbar-akhbar, bagi seluruh penduduk kampung mereka sangat berbesar hati kerana dapat bersalaman menatap wajah YTM Tunku Puteri yang menjadi kesayangan seluruh rakyat jelata,” katanya.

Walaupun ketika majlis pertemuan dengan penduduk kampung berlangsung, dengan tidak semena-mena hujan turun mencurah-curah namun mereka sama sekali tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Selepas merasmikan barangan artifak tinggalan Upu Daeng Perani, YTM Tunku Puteri diiringin Pengerusi Perasatuan Keturunan Upu Daeng Perani Cik Roshazliza Abdul Razak melawat makam.

Pengarah Lembaga Muzium Kedah Encik Suhaidi Shukri yang turut hadir pada majlis itu berkata, sejarah kepahlawanan Upu Daeng Perani tercatat dalam buku Tuhfat Al-Nafis dan Syair Duka Nestapa karangan Sultan Ahmad Tajudin Mukaram Shah.

Katanya, makam ini ada pontensi sebagai tempat sejarah dan pelancongan sekiranya sejarah ini ditulis di papan kenyataan untuk tatapan pelawat.

“Selama ini orang ramai terutama generasi hari ini kurang pengetahuan mengenai negeri Kedah sekiranya tidak ada pendedahan seperti ini dilakukan,” katanya.

No comments: