Wednesday, May 4, 2011

PAS kesal Osama dituduh dalang



KOTA BHARU – Pas Kelantan kesal dengan kenyataan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan pimpinan negara Pakistan berkaitan kematian pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama Laden yang terbunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Yang dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kenyataan dikeluarkan pimpinan kerajaan dan negara Pakistan jelas menunjukkan bahawa kesepaduan dalam beragama itu tidak ada sedangkan kedua-duanya adalah negara Islam.


Menurutnya, Osama adalah ikon yang memperjuangkan Islam sehingga sanggup menggadaikan nyawanya, sepatutnya kematian beliau dihormati dan bukan sebaliknya.


“Beliau dituduh menjadi dalang dalam serangan berani mati menggunakan kapal terbang ke atas Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di New York pada 11 September 2001, itu hanya tuduhan tanpa bukti dan ia tidak menjamin siapa salah siapa betul?


“AS melabel Osama sebagai pengganas tanpa bukti kukuh, sedangkan AS menceroboh Pakistan dan Afghanistan. Bayangkan jika Malaysia menerima serangan daripada kuasa veto dunia itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Beliau juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tentera AS mengamalkan sikap hipokrit dalam setiap tujuan termasuk pencerobohan terhadap negara-negara Islam yang mempunyai potensi untuk dimajukan.


“Sikap Pakistan dalam menangani isu ini kelihatan seperti tidak bertanggungjawab seolah-olah merestui apa yang dilakukan AS.


“Tindakan AS langsung tidak mencerminkan sebuah kerajaan bertamadun, tetapi menunjukkan kekuatan rimba membaham mangsa,” katanya.


Menurutnya, kebarangkalian kuasa rakyat dalam mengembalikan sistem demokrasi akan muncul kerana dunia dapat melihat bagaimana tumbangnya sesebuah kerajaan seperti Mesir.


Kelmarin, Presiden AS, Barack Obama mengesahkan tenteranya berjaya membunuh Osama di kediamannya di Pakistan.

No comments: