SHAH ALAM 5 JULAI : Tidak tahan dengan sikap melampau kerajaan pemerintah yang angkuh menangkap siapa sahaja yang ada kaitan dengan BERSIH 2.0, empat sasterawan negara dengan beraninya tampil menyatakan pendiriannya, mahukan kesemua mereka yang ditahan dibebaskan serta merta.
Keempat- empat mereka berhujah, jika Malaysia adalah negara maju seperti yang dilaung- laungkan sebelum ini, ianya harus dizahirkan dengan berpegang pada sistem demokrasi tulen yang mengimbangi kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.
Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.
Justeru, kerajaan pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak harus memikir kembali segala arahan dan tindakan yang dikeluarkan sebelum ini bagi membendung penganjuran himpunan aman tersebut, BERSIH 2.0 pada Sabtu ini.
"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.
Desakan itu menyusul selepas seorang lagi sasterawan negara, Datuk A samad Said menggesa para intelektual lain supaya berhenti menjadi 'carma' tetapi berani membuat pendirian terhadap kekejaman dan ketidakadilan.
Sejak pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu, lebih 150 orang termasuk pemimpin Pakatan Rakyat ditahan serta disabitkan dengan pelbagai akta semata-mata mahu menafikan tuntutan rakyat yang hanya meminta agar pilihan raya diadakan dengan adil dan bersih.
Terbaru enam orang aktivis termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terlibat dalam anasir subversif.
Walau bagaimanapun Perdana Menteri Najib Razak mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan sebagai langkah pencegahan bertujuan memastikan ketenteraman negara dikekalkan.
Dalam isu yang sama, aktivis NGO, Datin Paduka Marina Mahathir semalam membidas sikap takut tanpa sebab kerajaan pemerintah sehingga menangkap sesiapa sahaja yang berkait dengan BERSIH 2.0.
“Hanya mereka yang takut akan menangkap orang yang memakai kemeja T,” beliau memberitahu sidang akhbar bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan Bersih.
Sejak minggu lalu, polis menangkap sesiapa sahaja yang memakai kemeja T dengan logo Bersih atas alasan ia memudaratkan keselamatan negara.
Tangkapan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment