Ahli Jawatankuasa Pas Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, Umno dan Perikatan hanya menyambung usaha menuntut kemerdekaan setelah pemimpin itu ditahan British.
Menurutnya, pada 1948, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam adalah antara pemimpin yang dipenjarakan oleh British kerana memperjuangkan kemerdekaan.
“Manakala pertubuhan Melayu seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) diharamkan oleh British,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Adnan berkata, keberanian perlu ada untuk merungkai semula fakta sejarah dan memberi pertimbangan adil dalam mendedahkan pengorbanan pejuang untuk memerdekakan negara ini.
Katanya, oleh itu, selagi fakta sejarah sebenar dirahsiakan dengan menonjolkan pejuang kemerdekaan secara selektif dan menafikan peranan pemimpin dan pertubuhan lain, selagi itulah semangat meraikan kemerdekaan secara bersama tidak akan tercapai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak (gambar) berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu yang diputarbelitkan media perdana khususnya akhbar Umno sehingga menjadi kontroversi.
Menurutnya, isu serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada 1950 merupakan serangan ke atas sarang penjajah British bukannya kepada anak bangsa sendiri.
“Pada 23 Februari 1950 adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap penjajah British, namun sejarah itu diselewengkan oleh Umno/BN,” katanya.
Hairul Nizam berkata, pada zaman dijajah British, sesiapa sahaja yang menentang mereka akan di cop golongan berhaluan kiri atau komunis.SH
No comments:
Post a Comment