SHAH ALAM,4 OKT: Kerajaan Negeri menyelar tindakan Ketua Setiausaha
Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang membelakangi Menteri Besar
Selangor dan ahli-ahli Exco Kerajaan alam kes pertukaran Datuk Bandar
Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar secara mengejut
baru-baru ini.
Exco Kesihatan. Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Dr
Xavier Jayakumar berkata, media tempatan melaporkan bahawa kononnya
persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri
Selangor (SUK) tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.
“Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah
salah seorang ‘ex- officio’ penjawat awam yang dilantik atas kapasiti
jawatan beliau dan bukannya diberikan ‘kuasa’ bagi membuat keputusan
bagi pihak ‘Pihak Berkuasa Negeri’.
“Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli
Exco Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.
Dr Xavier menegaskan, arahan JPA bertarikh 27 September lepas untuk
pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah
bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Kerana Kerajaan Negeri diberikan ‘kuasa mutlak’ melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.
“Jadi tidak berbangkit isu KSN mengenalpasti pengganti kepada Datuk
Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah di
bawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Jelas beliau, sebagai seorang penjawat awam, Ali Hamsa yang baru
dilantik sebagai KSN pada 24 Jun yang lalu seharusnya mempunyai rasa
hormat untuk mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu Menteri Besar dan
ahli-ahli Exconya.
Ia kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang
itu harus akur kepada kerajaan sedia ada dan bukannya sekadar mengambil
arahan dari Kerajaan Persekutuan sahaja dengan mengambil tindakan yang
boleh mencetuskan kontroversi.
“Kita juga akan berbincang dengan Khusrin dalam mesyuarat Exco
terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu itu kerana Kerajaan
Negeri hanya mengetahuinya dari laporan media,” katanya.
No comments:
Post a Comment