Keceluparan Presiden MCA mempertikaikan hukum hudud nampaknya makin
menjadi-jadi. Ada saja perkara baru yang dibangkitkannya dari semasa ke
semasa yang menarik untuk dijadikan bahan berita tetapi cukup
menyakitkan hati umat Islam.
Jika sebelum ini beliau mempertikaikan hukum hudud itu secara umum dan
mengugut akan keluar BN jika hukum itu dilaksanakan, minggu lalu beliau
mengeluarkan kenyataan bahawa 1.2 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan
jika hudud dilaksanakan. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menyebut
tentang dapatannya bahawa kebanyakan negara yang mengamalkan hudud
adalah negara yang paling korup.
Terbaru dalam portal berita Star, beliau mencabar Menteri Agama, Jamil
Khir untuk berdebat serta menyarankan melakukan "homework" secukupnya
apabila Jamil Khir menyatakan jika hudud dilaksanakan ia tidak
melibatkan orang bukan Islam.
Pelbagai rentetan isu hudud yang ditimbulkan oleh Soi Lek ini seperti
memperlihatkan beliau lebih memahami serta membuat kajian yang mendalam
mengenai hukum itu berbanding Jamil Khir dan umat Islam sendiri.
Sudah tentu keceluparan Soi Lek ini mengguris hati umat Islam seluruhnya
kerana beliau nampaknya tidak memahami bahawa hudud bukanlah hukum
ciptaan Pas atau mana-mana pihak, sebaliknya ia merupakan hukum Tuhan
yang diturunkan untuk menjaga keamanan serta kesejahteraan hidup di
dunia ini.
Di mana-mana orang bercakap tentang sikap Soi Lek itu dan rata-ratanya
merasakan ia merupakan penghinaan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh
sesiapa di sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama
rasminya.
Tetapi tidak menghairankan kenapa Soi Lek sampai seberani itu. Selain
Najib sendiri yang tidak berani menegur dan meminta Soi Lek berhenti
daripada bercakap soal hudud, Mahathir sendiri seperti menggalakkan
beliau daripada terus bercakap sesuka hatinya mengenai hudud.
Mahathir dilaporkan pada minggu lalu sebagai berkata bahawa tiada
salahnya apa yang dilakukan oleh Soi Lek itu kerana ia hanya bertujuan
menarik sokongan pengundi Cina yang selama ini menyokong DAP untuk
menyokong MCA pula.
Sudah tentu dengan lesen besar yang diperolehi daripada Najib dan
Mahathir ini, Soi Lek tidak akan berhenti bercakap. Meskipun sudah ada
demonstrasi dan bantahan terhadap beliau, umat Islam haruslah bersedia
untuk menerima kata-kata yang lebih pedih dan mengguris hati lagi
berkenaan hudud di masa-masa akan datang.
Sebabnya ialah kerana Najib dan Mahathir sudah memberi lesen besar
kepada Soi Lek. Dengan lesen besar tanpa tarikh mati itu, sudah tentu
Soi Lek boleh berkata apa saja dan bila-bila masa saja.
Dalam usaha UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang dan keyakinan
Najib bahawa pengundi Cina amat penting serta kepercayaannya mereka
akan kembali menyokong BN jika ditakut-takutkan berhubung isu hudud,
percayalah Soi Lek akan terus bersuara dengan nyaring lagi selepas ini.
Dalam hal ini Najib dan Mahathir seakan-akan lupa atau buat-buat lupa
bahawa isu hudud bukanlah satu-satunya isu yang menyebabkan pengundi
Cina berubah angin dan menyokong pembangkang dalam pilihanraya 2008
lalu. Membangkitkan isu hudud untuk meraih sokongan pengundi Cina tidak
lebih menggambarkan kecetekan pemikiran UMNO dan BN serta gambaran tidak
mahu berubah.
Pengundi Cina pada umumnya memikirkan soal ekonomi dan urus tadbir
kerajaan yang berkaitan dengan rasuah, skandal, penyelewengan, ketelusan
dan sebagainya sebagai teras untuk memilih sesebuah parti itu. Jika
perkara itu dapat diperbaiki atau gambaran bahawa ia akan lebih baik
selepas ini, tanpa ditakut-takutkan isu hudud pun, pengundi Cina akan
kembali menyokong BN.
Tetapi dengan mengekalkan kerajaan yang lemah, urus tadbir yang celaru,
skandal, rasuah serta penyelewengan makin menjadi-jadi serta suasana
ekonomi yang tidak berkembang, tentulah agak sukar pengundi Cina untuk
kembali menyokong BN. Bagi mereka, setelah 50 tahun lebih menyokong BN
dan kini terdapat alternatif yang dirasakan lebih baik, meneruskan
sokongan kepada BN hanyalah umpama terjun ke dalam gaung yang penuh duri
dan sampar-sarap.
DAP pula dalam isu hudud ini nampak lebih berhemah dan tidak sampai
mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum Islam itu. Malahan dalam
konteks penghinaan Soi Lek itu, DAP secara terbuka menentang apa yang
dilakukan oleh MCA itu.
Dalam masa yang sama, isu hudud yang dibangkitkan secara berterusan oleh
Soi Lek ini juga akan membangkitkan kemarahan secara senyap di kalangan
pengundi Melayu dan Islam atas pagar. Jika selama ini ini mereka
menyokong UMNO dan BN atas keyakinan itulah parti yang diyakini untuk
mentadbir negara, tetapi dengan pelbagai kemelut serta skandal yang
bertali arus ditambah dengan penghinaan Soi Lek dan MCA terhadap hudud,
pengundi Melayu dan Islam atas pagar ini pasti memberi hukuman dalam
piliharaya kali ini.
Selama ini hanpir semua kerusi yang dimenangi MCA adalah di kawasan
majoriti Melayu. Di kawasan bandar dan majoriti Cina, MCA sebenarnya
sudah lama ditolak. Oleh itu, dengan penghinaan Soi Lek terhadap hudud
ini, peralihan sokongan pengundi Melayu atas pagar pasti akan berlaku
dalam jumlah yang besar kerana tidak ada orang Islam yang rela dan reda
hukum Allah itu dihina oleh Soi Lek.
Jika ditambah dengan penolakan pengundi Melayu dan Islam yang kecewa
dengan ketidaktegasan Najib menangani isu hudud dan Soi Lek ini,
pastilah jumlah kehilangan undi yang bakal diterima oleh BN dalam
pilihanraya akan datang lebih besar lagi jumlahnya.
Soi Lek sudah terlanjur menyerang hudud dan tidak mungkin menarik balik
kata-katanya. Najib dan Mahathir juga sudah terlajak memberi sokongan
dan lesen besar kepada Presiden MCA itu, juga mustahil menarik semula
sokongan yang diberikan itu. Kini hudud yang ditimbulkan itu hanya
menunggu masa untuk menjadi lowongan besar yang bakal mengambas UMNO dan
MCA didalamnya, Insya Allah. (SH 29/10/2012)
No comments:
Post a Comment