Friday, March 26, 2010
16 September ikut saluran bukan hasutan
KUALA LUMPUR , 26 Mac : Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengatakan Pakatan Rakyat (PR) menggunakan hasutan untuk merampas kuasa Kerajaan Pusat dalam peristiwa 16 September ditolak sekeras-kerasnya.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, PR sebenarnya menggunakan saluran yang betul pada hari tersebut malah mengutus dua surat kepada Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, kiriman kepada Perdana Menteri yang menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang bertarikh 18 September yang bertajuk ‘Petisyen mengadakan persidangan khas Parlimen Malaysia bagi membincangkan usul bahawa dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu) sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau’ telah ditolak sama sekali.
“Jika Barisan Nasional (BN) benar-benar berani bahawa kami (PR) tidak mempunyai jumlah yang mencukupi untuk merampas Kerajaan Pusat, mereka sudah tentu akan membenarkan sidang khas ini.
“Saya tahu mereka takut, sebab itu Perdana Menteri tidak berani memanggil sidang khas ini untuk membuat undi tidak percaya, ia bukanlah hasutan seperti yang didakwa Nazri,” katanya kepada Sinar Harian di Parlimen, semalam. SH
Katanya, oleh sebab percubaan untuk membuat undi tidak percaya di Dewan Rakyat gagal, PR mencuba saluran lain iaitu untuk menjelaskan perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Mengikut Fasal 43 Perlembagaan Malaysia, parti yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru.
“Merujuk kepada Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang boleh minta kepada Perdana Menteri membuat sidang khas, seperti dalam surat ini ditulis sidang khas ini akan diadakan pada hari Selasa 23 September 2008,” katanya.
Ditanya kenapa wakil-wakil rakyat BN tidak melompat pada ketika itu, Azmin menjelaskan wakil-wakil rakyat tersebut tidak berani kerana risau dengan keselamatan mereka dan keluarga tetapi menjelaskan jumlah sebenar mereka melebihi dari 30 orang.
“Mereka tidak melompat kerana percubaan kita untuk membuat undi tidak percaya gagal. Kita juga berjanji kepada mereka untuk mendedahkan identiti mereka sehingga sekarang, itu janji kita,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment