Friday, March 26, 2010
Remaja terlanjur kembali kepada agama
PARIT BUNTAR , 26 Mac : Setiap masyarakat termasuk remaja perlu memainkan peranan membentuk cara dan corak pergaulan yang baik serta cemerlang berteraskan ajaran agama.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar, Norijan Omar berkata, bagi remaja yang sudah terpesong tidak bererti keterlanjuran diri sempadan yang tidak dapat diubah ke arah lebih baik dan sempurna.
“Pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, berakhlak dan sentiasa ingat kepada ajaran agama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Norijan berkata, tiada apa akan dapat membantu mengawal diri remaja kecuali bekalan keimanan dan ketakwaan.
“Jika hakikat ini diabaikan, mudahlah segala ancaman dan gejala sosial menembusi pertahanan diri remaja,” katanya.
Menurut beliau, antara masalah yang menimbulkan kebimbangan penduduk di Parit Buntar ialah kelakuan sumbang di tempat awam, minum minuman keras dan merokok dalam kalangan pelajar serta remaja.
Katanya, kerajaan dan bukan kerajaan di Parit Buntar harus memainkan peranan penting dalam menangani masalah sosial yang kian menular dalam kalangan remaja.
“Walaupun gejala sosial ini masih berada satu tahap keterlanjuran, namun jika ia tidak dibendung dengan berkesan, ia mungkin berubah menjadi kebiasaan yang akan mengheret kita kepada cara kehidupan sosial yang tidak sihat.
“Kita sepatutnya cemas dengan isu seks rambang, penagihan dadah, pembuangan anak, yang melanda negara kerana gejala ini juga berlaku di Parit Buntar,” katanya.
Norijan berkata, tugas menangani gejala tidak sihat ini, adalah tanggungjawab bersama yang harus digalas oleh setiap anggota masyarakat.
“Ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama kenapa ia berlaku dan siapakah pelakunya. Semua pihak termasuk ibu bapa sendiri harus mainkan peranan,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment