Monday, December 20, 2010

Bunuh karakter Anwar, Umno ulangi tindakan terhadap Datuk Onn


KEPALA BATAS 20 Dis.: Umno membunuh karekter Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang dilakukan terhadap pengasasnya Datuk Onn Jaafar dakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Parti Negara dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar yang mana Allahyarham Onn difitnah oleh pemimpin Umno ketika itu untuk menutup perjuangan bekas pengasas Umno itu, kata Wan Azizah ketika berucap di hadapan 2000 perwakilan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua dekat sini.

Dr Wan Azizah menambah, Umno-Barisan Nasional(BN) akan terus mematikan perjuangan pembangkang dengan 'pembunuhan karakter' termasuk pada tahun 1964 yang mana Dr Burhanuddin Al Helmy dan Ahmad Boestamam ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan pelbagai sekatan, permainan media dan fitnah serta perkauman melampau, Umno-BN akhirnya berjaya melemahkan perjuangan pembangkang, katanya.

Kini ujar Wan Azizah, Umno-BN tersepit setelah Pakatan Rakyat menerajui beberapa negeri termasuk di Perak yang akhirnya dirampas secara 'keji' oleh mereka.

Apa yang mereka lakukan, semuanya ditutup oleh media mereka(Umno-BN), sebaliknya sedikit kesilapan Pakatan Rakyat akan diperbesarkan, katanya.

Di Parlimen 16 Disember lalu, Umno-BN mengenakan tindakan penggantungan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Azmin Ali (Gombak), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Karpal Singh (Bukit Gelugor), katanya.

Penggantungan bukan kerana empat ahli Parlimen tersebut bersalah, sebaliknya kerana memperjuangkan isu pengkhianatan Umno-BN ke atas rakyat dalam isu pelantikan agensi perunding, APCO Worldwide dengan bayaran kontrak RM77 juta, katanya.

Pakatan Rakyat membantah penggunaan khidmat APCO bukan kerana soal kepakaran, sebaliknya kerana agensi itu adalah proksi Israel, katanya.

Begitu katanya lagi, Umno-BN terus menerus menggunakan kuasa yang ada mempertahankan tindakan mereka melantik firma dari Israel itu tanpa memperdulikan suara rakyat.

Baginya, pemimpin Umno-BN hanya leka memperjuangkan kekayaan, memperkayakan kroni dan mempertahan apa sahaja kesalahan mereka meskipun terpaksa membelakangkan undang-undang negara.


Berdasarkan kepada senario yang ada hari ini dengan tekanan ekonomi, sosial yang melampau dan penzaliman yang berlaku, beliau mengajak rakyat bersama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan yang ada kini kepada sebuah kerajaan yang jauh lebih mementingkan hak rakyat.


No comments: