LABIS 29 Jan.: Respon masyarakat Cina terhadap calon PAS Normala Sudirman semakin hebat menjelang penghujung kempen pilihanraya kecil DUN Tenang, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.
Menurut beliau, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin dengan sokongan masyarakat Cina dan berharap 70 peratus pengundi kaum itu dapat mengundi Cikgu Mala.
"Orang Cina punya respon terhadap Cikgu Mala adalah hebat. Jika dulu PRU 12 Cina di kawasan Tenang hanya beri 55 peratus kepada calon PAS. Harapan saya kali ini orang Cina akan beri sekurang-kurangnya 70 peratus kepada Cikgu Mala, itulah harapan saya," katanya.
DUN Tenang mempunyai sejumlah 14 753 pengundi berdaftar dan disifatkan sebagai kubu Umno-Barisan Nasional(BN).
Proses pengundian bakal berlaku esok dan jangkaan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
Masyarakat Cina yang terdiri daripada 39.08 peratus pengundi di Tenang akan melakukan kejutan dengan mengubah kedudukan di mana kerusi itu secara tradisi dipegang oleh Barisan Nasional (BN).
Normala berdepan Calon BN dari UMNO Azahar Ibrahim yang diulit kontroversi berikutan kes samannya akibat kesalahan ketika menjawat jawatan Pentadbir Tanah di Segamat pada 2003.
Menurut Chua, kelembutan, kesopanan dan gaya Cikgu Mala berjaya menarik hati pengundi Cina di Tenang yang rata-ratanya di Bandar Labis.
Secara berseloroh Chua berkata Cikgu Mala membuat hatinya cair disambut sorakan lebih 500 hadirin di Dataran Wayang Pacak semalam.
"Bagi orang Tionghua, bila nampak Cikgu Mala, bila dia senyum sahaja, hati masyarakat Tionghua tercair. Termasuk hati saya turut tercair. Jangan beritahu isteri saya,"katanya berseloroh.
Lebih menarik, beliau melaporkan rata-rata masyarakat Tionghua sudah jemu dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis kerana gagal menjadi suara mereka.
"Saya nak beritahu secara serius Chua Soi Lek hari ini, orang Tionghua di sini nak bungkus dia dan anak dia. Kita guna perkhidmatan courier DHL bungkus dan hantar balik Batu Pahat. Jangan anggap dia akan jadi calon di sana kerana Umno dah jadi ahli parlimen di situ takkan dia nak beri kerusi itu pada dia dan anak dia, betul tak? Kita bungkus mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment