LABIS 30 Jan : Hujan lebat, yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu, dilihat sedikit mengganggu kelancaran proses pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang yang bermula pada pukul 8 pagi.
Hujan, yang turun berterusan sejak Selasa, bagaimanapun tidak menghalang pengundi berdaftar di kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di 12 pusat pengundian yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.
Selain kenderaan yang disediakan oleh parti-parti bertanding untuk kemudahan para pengundi ke tempat mengundi, para petugas SPR juga menyediakan kemudahan payung dan petugas untuk mengiringi pengundi dari luar pusat pengundian kesaluran peti undi.
Seorang pegawai SPR memberitahu pemberita bahawa pengundi tidak dibenarkan membawa payung sendiri masuk ke tempat pengundian kerana ditakuti payung berkenaan dijadikan senjata.
Sementara itu, tinjauan di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah mendapati suasana tenang sejak ia dibuka dan para pengundi dilihat beratur di luar dewan menunggu giliran masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang ditemui ketika meninjau proses pengundian pagi ini berkata, dalam tempoh sejam sejak pusat pengundi dibuka, sebanyak 11 peratus daripada 14,753 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Sekiranya 10 peratus daripada pengundi keluar setiap jam, adalah dijangka peratusan yang keluar mengundi dijangka mencapai 80 peratus," katanya.
No comments:
Post a Comment