Saturday, January 29, 2011

PR akan siasat pengaliran wang haram




LABIS, 29 Jan. : Pakatan Rakyat(PR) akan menyiasat Laporan Pengaliran Wang Haram daripada Negara Membangun: 2000-2009 yang dikeluarkan pemerhati kewangan 'Global Financial Integrity' jika berjaya mentadbir Putrajaya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ketua Pembangkang itu, Pakatan Rakyat akan mengatasi masalah ini dan membawa semula wang berkenaan ke negara ini bagi dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan mengukuhkan lagi kewangan dan daya saing negara.

"Saya nak beritahu, bila kita masuk Putrajaya laporan ini kita jadikan asas nak tahu ke mana wang itu pergi, siapa yang bawa lari wang dan bank mana. Dah dapat, bawa balik, bagi gaji, elaun dan subsidi balik pada dia (rakyat), ini jaminan kita, Insya Allah," katannya.

Anwar mengumumkan hal ini di hadapan lebih 1000 hadirin yang turut serta dalam ceramah perdana kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Dataran Wayang Pacak, Taman Labis Indah semalam.

Laporan tersebut meletakkan Malaysia di tangga kelima terbesar dari segi jumlah pengaliran keluar wang haram di antara tahun 2000 hingga 2008, di kalangan negara membangun.

GFI menafsirkan pengaliran wang panas membabitkan pemindahan wang diperolehi daripada aktiviti-aktivit haram seperti rasuah, transaksi membabitkan barangan terlarang, aktiviti jenayah, dan usaha melindungi kekayaan daripada pihak berkuasa yang mengutip cukai di kalangan negara terbabit.

Menurut Anwar hal ini sinonim dengan cara kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang memang didapati banyak korupsi termasuk yang dilaporkan Ketua Audit Negara sendiri saban tahun.

Malah, Anwar hairan kerana Umno dengan dangkal mendakwa program 'Buku Jingga' Pakatan Rakyat yang dirancang untuk membantu rakyat akan menyebabkan negara muflis.

"Mana ada negara di dunia dari zaman purbakala sehingga sekarang, tradisi dunia arab, Islam, India, China yang bankrap sebab tolong rakyat. Negara bankrap sebab pemimpin, Menteri Besar, Menteri makan duit rakyat. Ambil tanah, ambil balak, ambil komisyen, alamat negara bankrap, bukan pasal tolong rakyat," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

No comments: