Saturday, January 29, 2011

Umno tak ada isu, guna isu kuno

Umno-BN Bawa Isu Kuno- Mahfuz


LABIS, 29 Jan.: Menyifatkan isu-isu yang dibawa oleh Umno-Barisan Nasional(BN) pada kempen pilihanraya kecil DUN (PRK)Tenang kali ini sebagai kuno, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berpendirian fokus parti itu jauh menyimpang daripada dasar mengangkat martabat rakyat.

Sebaliknya beliau merumuskan Umno-BN tidak mampu menembusi pertahanan parti itu selain bertindak defensif atas isu yang disabitkan terhadap calon mereka, Azahar Ibrahim.

"Kita (PAS) memberi tumpuan terhadap persoalan prinsip. Umno-BN mempamerkan sikap tidak bertamadun mengangkis serangan Pakatan Rakyat," ujar beliau dalam sidang media pagi tadi.

Mahfuz berkata, pendirian PAS untuk tidak menyentuh isu peribadi calon yang bertanding dipegang sepanjang kempen pilihanraya kali ini namun sebaliknya tumpuan Umno-BN hanya berniat menjatuhkan maruah calon PAS, Normala Sudirman serta keluarganya.

Tambahnya lagi, kepimpinan Umno-BN yang tidak mampu mempertahankan kredibiliti calonnya yang terlibat dalam kes kecuaian ketika memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada tahun 2003.

Justeru Mahfuz berpendapat, rakyat seharusnya memberi tumpuan kepada soal memilih calon mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan bukan terbukti terlibat dalam kes mahkamah.

"Bukan peribadi tapi integriti calon Umno-BN yang memberi impllikasi kepada rakyat.

"Pendirian PAS tidak mahu bangkit isu peribadi kerana kita menghormati adap susila kempen," jelas Mahfuz.

Di awal kempen PRK Tenang, Umno-BN menimbulkan isu calon PAS, Normala Sudirman enggan berjabat tangan dengan kaum lelaki dan menakut-nakutkan pengundi Cina dengan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Seterusnya serangan dialihkan kepada suami Normala, Makrof Abdul Mutalib dengan mempertikai sijil sakit yang diperolehi beliau daripada doktor akibat tekanan perasaan.

Dalam sidang media yang sama, PAS mensasarkan peningkatan pengundi Melayu dan Cina di DUN Tenang pada pilihanraya kecil kali ini sekaligus menyekat sasaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 5000 majoriti undi.

Pilihanraya Kecil DUN Tenang yang akan berlangsung esok menyaksikan pertemuan satu lawan satu antara calon PAS, Normala Sudirman atau dikenali sebagai Cikgu Mala dan calon Umno-BN, Azahar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menganggarkan 80 peratus akan keluar mengundi pada 30 Januari yang bermula pada jam 8 pagi dan berakhir 5 petang. SPR menempatkan 13 Unit Peti Undi dan 32 saluran di daerah Tenang.

No comments: