KUALA LUMPUR, 6 Jan: Pengarah Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan pihak keselamatan mengganggu ceramah anjuran Pakatan Rakyat meskipun telah memberi jaminan ianya berlangsung secara aman.
Beliau berkata, kehadiran anggota polis yang ramai ke setiap ceramah Pakatan Rakyat yang sebenarnya memburukkan keadaan yang pada asalnya berlangsung dalam suasana aman.
"Saya mengharapkan suatu padang permainan yang sama rata dan saya mengharapkan pihak polis dapat memberikan kerjasama kerana kita menjanjikan ceramah dan perhimpunan yang aman yang seharusnya tidak ada masalah untuk pihak keselamatan memberikan kita permit," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut berkata, pihaknya sedaya upaya memastikan tidak berlakunya kekecohan di setiap program Pakatan Rakyat jika pihak polis sedia memberikan kerjasama.
"Kita pun tidak mahu berlakunya keadaan yang tegang dan melibatkan ramai pegawai polis yang hadir dalam setiap ceramah Pakatan Rakyat.
"Jadi saya harap perkara ini tak akan berlaku lagi pada masa akan datang dan harap pihak keselamatan memberikan kita permit dan kita bersedia mematuhi segala peraturan dan arahan," katanya.
Ceramah Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenang Isnin lalu dikawal ketat oleh pihak polis malah mereka bertindak menghalang Anwar daripada terus menyampaikan ceramah menggunakan mikrofon.
Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, rakyat Tenang sebenarnya ternanti-nanti kehadiran pimpinan Pakatan Rakyat untuk turun menyampaikan maklumat isu-isu semasa.
Tambahnya, kesepakatan yang ditunjukkan pimpinan Pakatan dalam setiap program penerangan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Pakatan masih kukuh.
"Rakyat Tenang sebenarnya cukup selesa apabila pimpinan Pakatan Rakyat dapat tampil menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi dalam kita memastikan kita benar-benar dapat menawan hati pengundi Tenang.
"Ini satu peluang untuk kita membuktikan bahawa segala tohmahan dan propaganda yang dimainkan kerajaan BN dapat kita kikis daripada minda mereka.
"Sebab itu kita tetap turun walau apa pun persepsi negatif yang cuba dibina terhadap Pakatan Rakyat.
Mengulas mengenai tindakan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran turun ke sekolah untuk merayu guru-guru membantu jentera BN menghadapi pilihan raya kecil ini, beliau berkata, tindakan itu jelas menunjukkan pelanggaran etika kempen yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kalau BN nak jabatan-jabatan kerajaan untuk berkempen, ini bermakna mereka sendiri yang melanggar etika.
"Saya diberi faham mereka melbatkan guru-guru dan jelas mereka bercakap supaya mereka memberikan sokongan kepada Barisan Nasional. Ini pelanggaran etika yang saya rasa cukup serius dan peguam-peguam kita sedang menunggu untuk kita membuat tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil Tenang, Mazlan Aliman memberitahu, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu jam 10.30 pagi esok di Balai Polis Labis.
SPR sebelum ini mengeluarkan kenyataan melarang mana-mana parti politik berkempen di Tenang sebelum penamaan calon pada 22 Januari ini.
No comments:
Post a Comment