KUALA LUMPUR 7 Jan.: Rumah Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail Datuk Ahirudin Attan yang juga dikenali sebagai blogger Rocky's Bru dipecah masuk dan kereta jenis Peugeot 470 miliknya dicuri awal pagi ini di Taman Damai Utama, Puchong.
Ahirudin, 49, yang juga Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian itu berlaku sekitar 3 pagi ketika beliau, isteri dan ibu mentua, dan tiga anak serta tiga anak saudara, sedang tidur.
"Kejadian itu disedari apabila ibu mentua saya bangun kira-kira pukul 5 pagi dan melihat pintu utama rumah terbuka luas," katanya.
Ahirudin berkata bahawa sebaik menyedari perkara itu, ibu mentuanya memanggilnya dan beliau mendapati keretanya yang bernilai lebih RM100,000 dilarikan penjenayah.
Turut dibawa lari jam tangan isterinya yang diletakkan di atas meja diruang tamu.
"Mungkin barang rumah kami tak banyak, jadi bila nampak kunci kereta mereka terus mengambilnya. Saya bertanya kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan ini dan mereka nampak kereta saya dibawa keluar pukul 3 lebih,"katanya.
Ahirudin berkata kawasan perumahannya itu yang terletak dalam Bandar Kinrara baru tiga bulan menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk menjaga kawasan itu.
Ketua Polis Dearah Serdang Supt Abdul Razak Elias ketika dihubungi berkata polis sedang menyiasat kes itu.
Pejabat ADUN Sri Muda Disimbah Cat Merah
SHAH ALAM 7 Jan. : Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Shuhaimi Shafiei di Kota Kemuning disimbah cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab bertindak liar selepas tulisan di blognya berkenaan Sultan Selangor, awal pagi tadi.
Susulan itu, pembantu khasnya Azmizam Zaman Huri memaklumkan kepada pihak polis ekoran tindakan pihak tertentu yang bertindak di luar batas undang-undang.
Azmizam melalui pesanan berkata perbuatan itu sebagai cubaan terdesak dan AMK Kota Raja telah membuat laporan polis bagi menyiasat kejadian tersebut.
Ujarnya, cat merah memenuhi pintu depannya dikesan kira-kira jam 6 pagi tadi oleh seorang kakitangan pejabat yang bermalam di situ.
"Bagaimanapun kita tidak nampak orang (yang disyaki) sekitar kawasan ini," katanya.
Azmizam yang juga naib ketua Pemuda PKR berkata, pihak pejabat kemudiannya membuat panggilan telefon memaklumkan kepada pihak polis.
"Kira-kira jam 8 pagi pihak polis tiba dan membuat garisan kuning di sini. Kita tunggulah hasil siasatan. Di sini pun ada CCTV (kamera litar tertutup)," kata Azmizam.
No comments:
Post a Comment