Thursday, January 6, 2011

Amah dirogol atau merogol?

Rogol amah: Wanita ini dirogol atau merogol? – Zuraida

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj5xYWX6BA87DOYbRTYzLiuMJFJcQFDi96NtZXIwLqBQL3S8RKMezfrA2vKXd1sJW8uRtDfnJbrW8NX6M66FU_46S-Njb2fydceZHfdE6T1jtyljOqVdpsSZDn9nt64H66M0VZsYeD2NT0/s1600/menteri+umno+rogol+amah.JPG
AMPANG, 6 Jan.: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan kes rogol amah wanita Indonesia yang didakwa membabitkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Rais Yatim akan berakhir sepertimana keputusan siasatan kematian Teoh Beng Hock yang diklasifikasikan sebagai penghakiman terbuka kerana mahkamah tidak dapat memutuskan sama ada mendiang dibunuh atau membunuh diri.

Ini kerana kerajaan bersikap sambil lewa tanpa sebarang tindakan dikenakan ke atas Menteri berkaitan sedangkan sudah jelas apa yang berlaku mencemarkan imej dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak mahu kes ini menjadi kes ‘open verdict’ (penghakiman terbuka) sebagaimana kes Beng Hock. Berdasarkan kepada tindakan kerajaan yang tidak menggantung Menteri sehingga keputusan siasatan selesai, kebarangkalian untuk kerajaan melakukan perkara yang sama sepertimana kes Beng Hock di dalam kes ini adalah munasabah.

“Dan ini akan merujuk sama ada wanita (mangsa) ini dirogol atau merogol,” kata Zuraida hari ini pada sidang media di pejabatnya di Taman Dagang, dekat sini.

Atas dasar itu juga katanya, bila berlaku tuduhan, ia perlu disusuli dengan siasatan bagi membuktikan kerajaan benar-benar telus dan adil walaupun yang didakwa merupakan seorang Menteri.
“Apa yang kita nak lihat bagaimana kerajaan bertindak, sebab kita lihat kalau Pembangkang yang dilibatkan, kerajaan serta merta akan membuat siasatan, membuat tangkapan dan sebagainya. Jadi kita nak lihat bagaimana kerajaan bertindak berhubung kes ini,” katanya.

Kementerian Shahrizat lesu

Ketua Wanita KEADILAN itu juga mempersoalkan kelesuan tindakan Kementerian Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat di bawah pimpinan Datuk Shahrizat Abdul Jalil berhubung kes tersebut walaupun Malaysia telahpun menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) sebelum ini.

“Setakat ini kita belum lagi mendengar tindakan pihak Shahrizat berhubung kes ini terutamanya beliau selaku Menteri Wanita yang telah menandatangani CEDAW – satu deklarasi antarabangsa untuk menjaga dan memelihara serta tidak menzalimi kaum wanita tidak kira dalam dan luar negara dan siapa sahaja.

“Kementerian Wanita menampakkan kelesuannya kerana ini bukan pertama kali Kementerian Shahrizat lesu tetapi berulang kali termasuk kes rogol wanita Penan dan lain-lain kes membabitkan wanita dan ini membuktikan Kementerian Wanita itu tidak tegas dan tidak ada ‘political will’ untuk menyelesaikannya dan kebanyakan kes terbengkalai di tengah jalan,” kata Zuraida.

Justeru, Zuraida berkata adalah perlu untuk Shahrizat mengambil serius mengenai kes mendiskrimasikan wanita di peringkat tertinggi ini.

Tambah Zuraida, beliau akan mengajukan hal ini ke Parlimen untuk disiasat Kaukus Pekerja Asing dan Imigran di bawah kendalian Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

“Saya juga difahamkan Ahli Parlimen Indonesia sedang bertindak untuk membuat sesuatu ke atas kes ini.

“Namun demikian Menteri Rais Yatim mempunyai hak untuk menafikan dan membersihkan namanya, tetapi pihak kerajaan mestilah menjalankan tugas untuk membuat siasatan.

“Mana ada penjenayah nak mengaku berhubung jenayah yang dilakukan,” kata Zuraida.
Menurut Zuraida, beliau juga telah berhubung dengan NGO Migrant Care yang berpengkalan di Jakarta yang sebelum ini telahpun menemuramah dan mendapatkan pengakuan dari amah tersebut.

“Saya sendiri sudah berhubung dengan pihak Migrant Care dan apa yang penting Wanita KEADILAN akan bertindak dalam kes ini termasuk kes-kes sebelum ini membabitkan kes pemerdagangan orang dan penindasan terhadap pembantu rumah dan wanita di Malaysia.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya mempunyai ruang untuk pergi lebih lanjut dan peringkat pertama kita akan bawakan kaukus dari pihak Migrant Care untuk berinteraksi dengan Parlimen Indonesia dan saya sendiri akan terlibat untuk memberikan keadilan kepada mangsa,” katanya.

Mutakhir ini, ruang siber Malaysia digegarkan dengan beberapa pendedahan mengenai keterlibatan seorang Menteri di dalam kes rogol melibatkan pembantu rumah yang berasal daripada Indonesia.

Dikhabarkan, kes ini telahpun berlaku sewaktu pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil kononnya untuk ‘mengelakkan konflik serantau’.


Ekoran dakwaan tersebut, Rais dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa amah pada 2007.

No comments: