Friday, January 21, 2011

Harga ayam pula naik

http://www.wartakota.co.id/upload/photo/2009/08/21/8284b6228168ccfe0f45e843a2c6f2fb.JPGBUKIT MERTAJAM, 22 Jan. : Harga ayam naik lagi. Itu keluhan sebahagian besar peniaga ayam di Pasar Awam Bukit Mertajam.

Tinjauan Sinar Harian ke pasar berkenaan semalam mendapati, rata-rata peniaga terpaksa menjual dengan harga maksimum RM8 bagi sekilogram ayam berikutan kenaikan secara mendadak oleh pembekal kebelakangan ini.

Peniaga, Hafizi Mat Saad,30, berkata, kenaikan itu bukan sahaja membebankan mereka sebagai peniaga, tetapi juga pembeli yang merungut mengenai harga ayam yang tidak masuk akal.

Menurutnya, jika dahulu harga ayam proses yang diambil daripada pembekal hanya sekitar RM5.50, tetapi hari ini ia mencecah RM6.90 ke RM7 sekilogram.

“Harga hari ini adalah rekod dalam sejarah kerana sebelum ini tidak pernah lagi harga ayam melambung begitu tinggi. Paling mahal pernah kami jual hanya RM7.50, itu pun sekitar dua minggu lalu, tetapi, hari ini kami terpaksa jual RM8.

“Apabila ditanya kepada pembekal, mereka juga tidak boleh berbuat apa kerana persatuan peladang yang menentukan harga ayam. Jadi, mahu tidak mahu kami terpaksa menjual kepada pelanggan dengan harga tinggi. Tetapi, bila harga dah tinggi, siapa yang nak beli?,” katanya.

Hafizi berkata, jika sebelum ini dia mampu menjual antara 120 hingga 130 ayam sehari, namun hari ini hanya mampu terjual sekitar 40 hingga 50 sahaja sehari, merosot hampir 50 peratus.

Katanya, peniaga bukan sahaja tertekan akibat kenaikan harga, tetapi juga terpaksa mendengar rungutan, tidak kurang juga yang menyalahkan mereka kerana mendakwa mereka sengaja menaikkan harga sesuka hati.

Tambahnya, perkara itu pernah diajukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), namun, pihak berkenaan mendakwa mereka hanya mengawal harga pada musim perayaan dan tidak boleh mengawal harga pasaran kerana ia ditetapkan peladang.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Noor Zihad Abdullah,45, berkata, harga ayam naik berpunca dari Persatuan Peladang.

Menurutnya, harga ayam sepatutnya perlu dikawal supaya ia tidak membebankan peniaga seterusnya pengguna.

“Memang sebagai peniaga, amat terbeban dengan kenaikan harga ayam kerana ia adalah punca pendapatan utama kami. Sepanjang saya berniaga ayam selama 30 tahun, inilah kali pertama harga naik sangat tinggi.

“Jika dahulu, ayam hidup di ladang boleh diperoleh dengan harga antara RM4.40 hingga RM4.50 sekilo, tetapi sekarang mencecah RM5.40,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata pelanggan yang ditemui turut mengeluh berikutan harga ayam yang terlalu tinggi.

Yusni Mohd Yusoff,42, ketika ditemui terkejut dengan harga ayam yang melambung tinggi di pasar.

Ia kerana katanya, baru bulan lalu dia membeli ayam dengan harga RM6.50 hingga RM6.80 sekilo, tetapi, hari ini harga yang dijual naik lebih sekali ganda.

“Saya berharap agar pihak berkenaan dapat mengkaji semula perkara ini dan tidak mengambil kesempatan,” katanya.SH

No comments: