Friday, January 21, 2011

Kebangkitan rakyat di Tunisia dan Jazerah Arab

http://www.lonelyplanet.com/maps/africa/tunisia/map_of_tunisia.jpgKebangkitan kuasa rakyat sedang melanda ke seluruh Jazirah Arab menentang regim-regim diktator, rasuah, zalim dan tidak demokratik yang menindas majoriti rakyat dengan polisi-polisi mengekang kebebesan bersuara, hak asasi dan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kebangkitan ini dengan demonstarsi besar-besaran rakyat memenuhi jalanraya berlangsung di Tunisia. Mesir. Algeria, Kuwiat, Jordan dan lain-lain negara umat Islam. Ia fenomena yang membimbangkan negara-negara diseluruh Semenanjung Arab.

Negara-negara umat Islam lain sedang memperketatkan kawalan keselamatan dengan menambahkan kehadiran pasukan keselamatan di lokasi-lokasi strategik bagi membendung kebangkitan. Negara-negara ini turut merasakan tempias bahang kebangkitan rakyat ini.

Regim-regim ini yang mengamalkan dasar keras dan kukubesi yang hampir sama berada dalam kebimbangan melihat kebangkitan di Tunisia dan di beberapa negara umat Islam.

Negara-negara ini bimbang teori domino bakal berlaku. Selepas Tunisia akan muncul kebangkitan rakyat di negara mereka. Reaksi dari kebangkitan di Tunisia mulai dirasakan di Mesir, Kuwiat, Algeria, Jordan apabila rakyat negara-negara ini berhimpun berdemonstrasi menggerakkan perjuangan kebangkitan rakyat.

Kebangkitan rakyat di Tunisia yang bermula sejak sebulan lalu kerana membantah polisi kerajaan yang tidak dapat mengadakan pekerjaan kepada golongan muda yang terpelajar di negara itu sehingga menyebabkan kadar pengangguran di Tunisia begitu tinggi sedangkan elit pemerintah memperkayakan diri dan keluarga mereka. Jurang pemisah antara yang kaya dengan yang miskin terlalu jauh.

Polisi kerajaan terus memperkayakan yang kaya dan yang miskin terus menjadi miskin. Kekayaan hanya berkisar di sekitar kalangan pemerintah dan konco-konconya.

Kenaikan kos sara hidup dengan harga barangan keperluan asas yang tinggi tambah memarakkan suasana penentangan rakyat untuk keluar ke jalan-jalan raya berdemonstrasi.

Perbuatan rasuah, kezaliman dengan tindakan mengekang kebebasan bersuara dengan mengawal ketat dan menguasai media, memenjarakan ahli-ahli politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan telah menimbulkan keresahan rakyat yang akhirnya keluar kejalanraya berdemonstrasi menyebabkan regim diktator presiden Zine El-Abidine bin Ali atau lebih dikenali sebagai Ben Ali ditumbangkan. Ben Ali lari meninggalkan Tunis dan kini tinggal dalam buangan di Saudi Arabia.

Kuasa rakyat berjaya menumbangkan pemerintahan Ben Ali selama 23 tahun. Ben Ali memerintah secara autokratik sejak rampasan kuasa tanpa menumpahkan darah pada tahun 1987. Regim Ben Ali selama pemerintahannya menyekat aktiviti politik pembangkang dan ramai penentang-penentang politiknya dipenjarakan.

Salah seorang tokoh pimpinan Pergerkan Islam Tunisia, Rachid Ghannuchi kini berada di London tinggal dalam buangan bagi mengelak dari ditangkap apabila Ben Ali mengharamkan beberapa buah parti politik pembangkang.

Apa yang mengambil tempat di Tunisia bagaikan satu ledakan bom jangka dan ia memungkinkan ledakan bom jangka akan berlaku di beberapa buah negara umat Islam lain di rantau Timur Tengah kerana setail pemerintahan regim-regim ini hampir sama dengan cara pemerintahan kuku besi di Tunisia.

Di Tunisia, segala-galanya bermula apabila seorang pemuda terpelajar yang menganggur sedang menjual barangan tanpa mempunyai permit, lalu dia ditahan polis dan barangannya dirampas. Pemuda ini bertindak membakar diri kerana membantah dan dia akhirnya meninggal dunia. Permulaan inilah yang memercikkan api kebangkitan rakyat yang menukar lanskap politik Tunisia.

Peniruan perbuatan ini berlaku di Mesir dan di Algeria, apabila saorang anak muda di Mesir dan di Algeria cuba membakar diri masing-masing sebagai tindakan memprotes situasi politik dan ekonomi di kedua buah negara umat Islam itu. Ia menandakan bahawa rentetan tragedi berdarah di Tunisia menyeberangi melampaui sempadan Tunisia, mengheret seluruh Jazirah Arab.

Demonstrasi turut mengambil tempat di Jordan dan Kuwiat tetapi laporannya sengaja tidak diperbesar-besarkan. Apa yang berlaku di Tunisia membimbangkan negara-negara umat Islam lain termasuk Saudi Arabia, negara Ben Ali sedang mendapat perlindungan politik.

Perkembangan politik di Asia Barat berlangsung begitu cepat. Regim di Mesir dibawah Presiden Hosni Mubarak setakat ini dapat membendung situasi yang diilhami dari Tunisia walaupun sebelum kebangkitan rakyat di Tunisia, berlaku tunjuk perasaan kalangan aliran koptik kristian di Mesir yang memprotes kejadian pengeboman di gereja mereka menjelang perayaan hari Krismas. Demonstrasi di Algeria, Jordan dan Kuwiat juga setakat ini dapat dikawal.

Regim sementara telah dibentuk oleh Perdana Menteri (PM) Mohammad Ghannuchi yang memasukkan beberapa orang tokoh pemimpin pembangkang dalam kabinet tetapi meninggalkan tokoh pergerakan Islam terutama Rachid Ghannuchi. Tanpa penyertaan pergerakan Islam dalam kerajaan yang dipanggil sebagai kerajaan perpaduan, tidak akan menyelesaikan konflik politik di Tunisia. Kebanyakan anggota kabinet kerajaan sementara ini masih lagi muka-muka lama yang ada kaitannya dengan Ben Ali. Mereka memegang portfolio penting Pertahanan, Dalam Negeri, kewangan dan Luar Negara.

Keanggotaan kabinet sementara ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang menumbangkan regim Ben Ali dan akibatnya kemungkinan demonstrasi jalanan akan diteruskan, walaupun keadaan dikatakan terkawal.

Perlembagaan Tunisia menghendaki pilihanraya diadakan dalam masa 60 hari selepas penubuhan kerajaan sementara. Pentadbiran Mohammad Ghannuchi yang merupakan rakan Ben Ali dijangka akan membuat beberapa pembaharuan politik yang akan membuka ruang parti-parti pembangkang mengambil bahagian dalam pilihanraya. Di era pemerintahan Ben Ali ada parti politik pembangkang yang diharamkan dan ada pula yang dibenarkan. Tindakan Ben Ali ada kaitannya untuk membendung kebangkitan Islam di Tunisia dan Ben Ali merupakan sekutu AS dan barat yang akrab.

Kelangsungan kebangkitan rakyat di Tunisia telah menukar lanskap politik di Jazirah Arab. Ia memberi harapan kepada kebangkitan Islam di negara itu dan di negara umat Islam yang lain di rantau itu. Perkembangan di Tunisia sedang mendapat perhatian serius AS dan barat yang bimbang dengan kemunculan pergerakan Islam menjadi tenaga politik berkesan di negara itu.

Bersama dengan perkembangan di Tunisia dan negara-negara di rantau itu yang sedang menerima percikan bahang kebangkitan rakyat itu, berlaku dua perkembangan politik penting yang lain iaitu referendum pemisahan Selatan Sudan yang akan menjadikan Sudan terbahagi dua, Utara Sudan bermojoriti penduduk Islam yang berpusat di Khartoum dan Selatan Sudan bermajoriti penganut kristian. Perkembangan terakhir di Sudan ialah penangkapan pemimpin pergerakan Islam Sudan, Hassan Turabi oleh regim Omar Al-Bashir di Khartoum.

Satu lagi perkembangan yang menegangkan suasana di Timur Tengah ialah tumbangnya kerajaan Saad Hariri di Lubnan, apabila kabinet yang disertai blok Hizbulllah dan sekutunya seramai 11 orang meninggalkan kerajaan dan tidak akan menerima lagi Saad Hariri menjadi PM.

Tindakan Hizbullah berikutan penerimaan tribunal antarabangsa oleh Saad Hariri yang dianggap Hizbullah bertujuan untuk mengaitkan beberapa pemimpin mereka sebagai mereka yang terlibat dalam mendalangi pembunuhan PM Rafik Hariri pada 2005. Rafik Hariri ialah ayah kepada Saad.

Penerimaan tribunal adalah atas desakan dan tekanan AS dan barat yang ada kaitannya dengan tuntutan regim zionis untuk mengasingkan Hizbullah yang mempertahankan Lubnan dari serangan regim zionis dalam perang yang dilancarkan terhadap pergerakan Hizbullah dua tahun lalu.

Segala perkembangan ini meletakkan rantau Timur Tengah dan negara-negara umat Islam terus berada dalam kancah sengketa, konflik dan perang. Semuanya kerana akibat penglibatan AS dan barat.
----------------------------------------

Penulis adalah bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Pernah menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dan juga Ketua Pengarang Harakah. Beliau menulis dua kali seminggu untuk Harakahdaily.

No comments: