Kelab Putera 1Malaysia atau Kelab Putera Umno?
KUALA LUMPUR : Kelab Putera 1Malaysia sebenarnya bertujuan mempromosikan Umno bukan untuk kepentingan rakyat Malaysia. Menurut email yang diterima dari seorang PR di Australia , pemimpin Kelab Putera 1 Malaysia yang diketuai oleh Ketua Putera Umno Malaysia, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim telah datang ke Queensland untuk membantu pelajar Malaysia yang terlibat dengan banjir di sini.
Namun , sungguh mengecewakan apabila mereka memasang bendera Umno semasa program menyampaikan bantuan tersebut. Sedangkan pelajar Malaysia yang hadir terdiri dari pelbagai kaum dan bukan penyokong Umno.
Tindakan ini menyebabkan ramai pelajar Malaysia merasa kesal dengan tindakan Kelab Putera 1Malaysia yang mempolitikkan program tersebut.
Kehadiran mereka untuk menghulurkan bantuan amat dialu-alukan oleh pelajar Malaysia yang memang menerima bantuan dari pelbagai pihak dari Malaysia.
Tindakan mereka menggunakan kesempatan di atas kesusahan pelajar Malaysia di luar negara untuk berpolitik itulah yang mengecewakan.
Misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia ke Mesir juga pastinya akan berhadapan dengan agenda politik putera Umno berselindung di sebalik misi bantuan kemanusian. Buktinya , apa yang dihadapi oleh Wakil Kelantan ke Mesir Ust. Zulkifli Yaacob
Mesir: Mengapa wakil Kelantan disisih
PENGKALAN CHEPA, 7 Feb: Benarkah operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid, merupakan misi untuk kepentingan negara dan tiada unsur politik?
Kalau betul, mengapa wakil Kelantan yang ditawarkan pada awalnya menyertai misi menghantar bantuan ke Kaherah 2 Febuari lalu diketepikan?
Bekas Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Zulkapli Yaacob berkata, pada awalnya beliau ditawarkan menyertai misi Mercy bagi menghantar bantuan ke Mesir.
“Saya telah serahkan passport kepada pihak penganjur biar pun tahu di belakangnya ada Kelab Putera Malaysia.
“Ketika taklimat diadakan di Kuala Lumpur setiap peserta yang akan menyertai misi berkenaan diberi t-shirt berlambang 1Malaysia.
“Saya kata saiz badan saya XL tetapi mereka beri saiz L jadi saya kata tidak padan, kalau pakai akan jadi macam pembalut nangka. Namun mereka minta ambil juga,” katanya sambil mempamerkan baju itu pada ceramah solidariti kebangkitan di Timur Tengah di Putik malam tadi.
Sebelum itu diadakan solat hajat yang disertai ribuan rakyat Kelantan diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Mohamad Mustafa.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata misi bantuan ke Mesir untuk kepentingan negara dan tidak ada pertimbangan politik sama sekali.
Zulkapli berkata, selepas pihak penganjur tahu beliau membawa sejumlah wang untuk diberi kepada pelajar Kelantan di Mesir, ada sahaja helah dilakukan bagi menghalangnya.
Katanya, duit sejumlah RM120,000 diberi kerajaan negeri untuk dibawa ke Kaherah bagi membantu pelajar Kelantan di sana. Ini kerana mereka menghadapi masalah kewangan berikutan bank tidak beroperasi.
”Pihak penganjur memberitahu saya tidak boleh terbang bersama kumpulan pertama kerana kapal terbang penuh dengan barangan bantuan.
”Saya pun hairan barangan bukan diletak di tempat duduk penumpang sebaliknya dalam perut kapal terbang. Mereka minta saya tunggu penerbangan keesokan harinya.
”Dan selepas berjam-jam menunggu dan tidak mendapat sebarang respons saya mendapatkan sendiri tiket menggunakan penerbangan SIA yang mengambil masa 25 jam untuk sampai ke Kaherah,” katanya.
Beliau bersyukur dapat sampai juga ke Mesir biar pun diketepikan dalam rombongan misi tajaan kerajaan Malaysia.
Katanya, ketika sampai di sana beliau disambut pelajar dan diagihkan wang untuk mereka membeli bekalan makanan.
”Saya hairan Perdana Menteri kata misi bantuan tidak ada unsur politik, sedangkan usaha wakil kerajaan Kelantan menyertai sama misi bantuan disisihkan,” katanya.
Hadir sama pada ceramah itu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.
Selain itu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid serta wakil Palestin.
Ribuan penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut. Difahamkan Kelantan satu-satunya negeri yang menghantar bantuan kewangan kepada pelajar di Mesir. Zulkapli kembali dari Kaherah pagi semalam.
No comments:
Post a Comment