Monday, February 7, 2011

Buang masa siasat saya

Polis Buang Masa Siasat Saya, ujar Arutchelvan


SHAH ALAM 7 Feb.: Kehadiran polis hadir ke rumah Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan disifatkan beliau sebagai membuang masa sahaja.

Menurut Arutchelvan, tidakan polis itu seolah-oleh cuba untuk menakut-nakutkan rakyat sedangkan lebih banyak kes melibatkan masalah jenayah di negara ini yang perlu diselesaikan.

Tindakan polis ini didakwa ada kaitan dengan kehadirannya sewaktu perhimpunan anti-Presiden Mesir, Hosni Mubarak Jumaat lalu.

“Polis sepatutnya ada lebih banyak kerja yang penting daripada mengambil keterangan saya. Kita tengok kadar jenayah dan yang lain-lain, saya rasa mereka ada banyak isu lain yang perlu difokus,” katanya.

Semalam empat orang anggota polis yang diketuai oleh seorang Inspektor dari Ibu Pejabat Daerah Cheras hadir ke rumah Arutchelvan di Kajang pada jam 6.30 petang untuk meminta keterangan berhubung kehadiran beliau pada perhimpunan tersebut pada 4 Februari yang lalu.

“Kalau dia ingin mengambil keterangan, mereka sepatutnya memberikan Notis 111 Kanun Acara Jenayah dan notis itu perlu dicatat tarikh dan masa bila keterangan itu ingin diambil dan meminta untuk hadir. Jika kita tidak hadir baru boleh meminta waran untuk kita ditangkap.

“Dalam kes ini saya terus diberikan surat dan mereka terus ingin mengambil keterangan saya. Saya enggan memberikan keterangan kerana prosedur mereka salah,” katanya.

Arutchelvan membuat laporan polis di Balai Polis Kajang berhubung kejadian terbabit dan menganggap tindakan pihak polis terbabit merupakan satu ugutan.

Beliau menegaskan rakyat berhak berhimpun seperti yang termaktub dalam perlembagaan sekiranya berlaku ketidakadilan terhadap mereka.

“Semua pemimpin dunia yang berwajah diktator dan salahguna kuasa memang tergugat dengan apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia. Mereka takut ia akan merebak ke serata dunia,” katanya.

No comments: