Monday, February 7, 2011

Dah la membazir, aniaya terhadap murid

Buku Teks Silap Cetak, Penganiayaan Terhadap Murid


SHAH ALAM 8 Feb.: Penarikan semula 400 ribu buku teks KSSR Bahasa Inggeris tahun satu Januari lalu oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dianggap sebagai satu penganiayaan terhadap murid-murid sekolah.

Buku teks berkenaan mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru.

Menurut Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamed Hasan Ali, tindakan drastik kerajaan menarik semula buku tersebut telah menggugat sesi pembelajaran memandangkan buku baru hanya akan diterima menjelang Mac nanti.

"Kita melihat misalnya masa atau tempoh untuk menunggu buku yang baru itu sehingga Mac saya kira satu tempoh yang agak panjang dan semacam penganiayaan kepada murid-murid dan juga mungkin warganegara yang baru masuk dalam sekolah darjah satu. Mungkin dalam pemikiran mereka ini merupakan satu bebanan," katanya.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung mengakibatkan pembaziran serta kerugian besar dalam sektor pendidikan. Ini kerana, buku berkenaan perlu dicetak semula dan bakal menelan kos berlipat ganda.

"Wang negara dibelanjakan dan dibazirkan begitu sahaja. Ini kerana RM4 juta yang diperuntukkan itu boleh dimanfaatkan berbagai-bagai dimensi setidak-tidaknya mungkin bagi saya sebagai dana tambahan contoh kepada skim makanan tambahan untuk anak-anak," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar siasatan lanjut dilakukan bagi mencari di mana kesilapan tersebut. Hasan turut menyarankan agar Kementerian bersikap telus dan tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa terkilan atas sikap sesetengah pihak yang cuba menyembunyikan keadaan sebenar dari diketahui umum. Menurutnya, tindakan telus Tv Selangor yang menyiarkan isu berkenaan secara eksklusif wajar dipuji dan dijadikan contoh dalam merakyatkan informasi.

Harga seunit buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun satu adalah RM8.20 dan jika mengambil kira keperluan hampir 400,000 naskah maka jumlahnya mencecah RM4 juta.

No comments: